Syed Saddiq keluarkan RM1 juta wang Armada untuk bantuan Covid-19, kebajikan

Syed Saddiq keluarkan RM1 juta wang Armada untuk bantuan Covid-19, kebajikan

PEGUAM bela Gobind Singh Deo menegaskan, wang RM1 juta dikeluarkan daripada akaun CIMB Armada oleh Syed Saddiq Abdul Rahman, digunakan sebagai bantuan Covid-19, bantuan Ramadan dan Aidilfitri serta bagi tujuan kebajikan.

Menurut Gobind yang mewakili bekas Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada) itu, fakta tersebut sememangnya tidak boleh dipertikaikan.

Gobind berkata ia sejajar tujuan dan objektif penubuhan parti Bersatu mengikut Perkara 6.10 perlembagaan, antaranya memperjuang keadilan sosial, mengagih kekayaan negara secara adil dan saksama, membela kebajikan rakyat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan agama.

Menurut Gobind, Perkara 4.2 Peraturan Armada menyatakan bahawa tujuan penubuhan sayap parti itu adalah bagi menganjurkan aktiviti untuk mencapai tujuan dan matlamat Bersatu.

Sehubungan itu, Gobind berkata Syed Saddiq yang ketika itu Ketua Armada Bersatu dan Penolong Bendahari Armada Bersatu ketika itu Rafiq Hakim Razali, pada sepanjang masa bertindak demi kepentingan sayap parti dan tanggungjawab mengikut perlembagaan parti.

Peguam itu berkata demikian pada prosiding hujahan di akhir kes pembelaan kes pecah amanah, menyalahgunakan harta dan pengubahan wang haram yang dihadapi Syed Saddiq di Mahkamah Tinggi hari ini.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana RM1 juta dan melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Beliau juga didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq juga berdepan dua tuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang, masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun ASB miliknya, hasil aktiviti haram.

Sementara itu, Gobind selanjutnya berkata, apabila wang RM1 juta dikeluarkan pada 6 Mac 2020, terdapat sejumlah RM1.8 juta tersedia dalam akaun berkenaan yang antara lain memenuhi tujuan dan objektifnya.

Beliau berkata, ketika itu negara dilanda wabak Covid-19 menyebabkan kesusahan teruk kepada rakyat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 memberi kesan kepada rakyat dari segi kesihatan dan ekonomi.

Katanya, tiada beban diletakkan kepada anak guamnya untuk membuktikan dirinya tidak bersalah, sebaliknya pendakwaan yang perlu membuktikan kes tertuduh melampaui keraguan munasabah sepanjang perbicaraan.

“Walaupun mahkamah memutuskan kes prima facie terhadap tertuduh, Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah (CPC) memberi mandat supaya pembuktian oleh pendakwaan dinilai semula berikutan pembelaan yang dibuat itu.

“Dalam erti kata lain, ia kini menjadi tanggungjawab mahkamah untuk meneliti bukti secara menyeluruh bagi menentukan sama ada terdapat keraguan munasabah yang membawa kepada pembebasan Syed Saddiq atas semua pertuduhan,” katanya.

Peosiding di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok. – Malaysiapost

Komen