SELEPAS 35 tahun mencurahkan bakti dalam sektor kesihatan, khidmat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sampai ke penghujung apabila bakal bersara wajib pada 21 April ini.
Berita persaraan Dr Noor Hisham itu mula tersebar di media sosial menerusi hantaran di Facebook beberapa individu dan pihak yang berkait rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM).
Memegang jawatan Ketua Pengarah Kesihatan sejak 2013, Dr Noor Hisham, 60, pasti diingati rakyat Malaysia ketika negara berhadapan situasi mencabar melawan musuh yang tidak nampak, Covid-19.
Saban hari, bapa kepada enam anak itu muncul di skrin televisyen untuk memberi keyakinan kepada rakyat situasi semasa peperangan negara melawan Covid-19.
Ketika pandemik, usaha komited Dr Noor Hisham memerangi Covid-19 boleh dilihat apabila sentiasa memberi maklumat terkini di media sosial, berlandaskan rumusan berasaskan fakta dan statistik.
Rata-rata rakyat Malaysia menyifatkan Dr Noor Hisham sebagai ‘wira’ sebenar negara melalui pencapaian terbaik pasukan kesihatan di bawah pimpinannya dalam memerangi penularan virus itu.
Beliau turut dinamakan sebagai antara doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN), berdasarkan kewibawaan beliau menangani krisis Covid-19.
Memetik laporan sebuah portal dan media tempatan, Dr Noor Hisham berkata, beliau tidak sabar meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga apabila berundur pada 21 April ini, iaitu hari dirinya mencecah usia 60 tahun, iaitu umur persaraan wajib anggota perkhidmatan awam.
“Persaraan adalah babak kehidupan seterusnya. Ia adalah perjalanan hidup. Saya akan menyeberangi satu jambatan pada satu masa,” katanya. – Malaysiapost