Zahid hantar representasi mohon AGC kaji, gugurkan kes rasuah

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghantar representasi kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk mengkaji dan menggugurkan tuduhan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang dikenakan terhadapnya.

Perkara itu dimaklumkan peguam bela Timbalan Perdana Menteri itu, Hamidi Mohd Noh pada sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Rayuan yang bertindak sebagai hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Hamidi menjelaskan kepada mahkamah, dokumen surat representasi itu keseluruhannya mengandungi lebih 200 muka surat yang dihantar kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Katanya, dokumen tersebut perlu diteliti oleh pihak pendakwaan yang tidak membantah permohonan mereka untuk menangguhkan perbicaraan kes terbabit susulan perkembangan baru itu.

Kes Yayasan Akalbudi kini dalam peringkat bela diri, di mana Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sudah selesai membela diri pada Ogos lalu, dan ia bersambung dengan bekas Pegawai Tugas-Tugas Khasnya, Datuk Mohd Kamal Abdullahpula disoal balas.

Beliau didakwa dengan 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Perkara tersebut disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob yang memaklumkan mahkamah, pihaknya menerima surat representasi panjang lebar yang mengandungi isu yang kompleks.

Kata Abdul  Malik, pihaknya menerima representasi pertama pada Januari lepas, dan kemudian pada 14 Februari dengan beberapa dokumen, di mana pihanya diarahkan Peguam Negara untuk tidak membantah permohonan bagi menangguhkan perbicaraan.

“Selepas berunding dengan Pendakwa Raya, kami diarahkan untuk tidak bantah permohonan ini kerana pendakwaan memerlukan masa yang munasabah untuk menimbangkannya.

“Ia turut dilampirkan dengan surat daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki bertarikh 20 Februari lepas yang menyatakan SPRM menjalankan siasatan lanjut berhubung bukti baharu tersebut.

“Tiada maklumat sama ada siasatan tersebut telah bermula atau belum, tetapi kami memerlukan keputusan siasatan untuk membuat keputusan permohonan representasi ini,” katanya lanjut.

Collin kemudian membenarkan perbicaraan itu ditangguhkan dan menetapkan 1 Ogos ini bagi menyambung perbicaraan atau bagi bagi pihak-pihak memaklumkan perkembangan lanjut mengenai representasi.

Tarikh perbicaraan sepanjang April ini hingga Julai depan dengan itu dilapangkan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights