MELAKA akan memperkenalkan teknologi baharu penternakan udang yang mampu menjana hasil lebih tinggi bagi menampung permintaan makanan yang meningkat.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata menerusi teknologi ‘Recirculating aquaculture system’ ia diyakini mampu menghasilkan pembiakan udang dengan lebih pantas.
Katanya, cadangan itu sudah dibawa dalam Mesyuarat kali pertama dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, hari ini.
“Antara cadangan yang dibawa oleh kami adalah untuk memperkenalkan teknologi yang baru dalam penternakan udang.
“(Ia mampu jana) hasil lebih tinggi dengan mengambil masa yang lebih pantas iaitu menggunakan teknologi ‘Recirculating aquaculture system’,” katanya menerusi Facebook.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno berkata, negara perlu mengambil langkah yang luar daripada kebiasaan untuk menjamin bekalan makanan rakyat.
“Dikala permintaan makanan semakin tinggi ditambah pula dengan kekurangan produktiviti makanan dunia, sudah tentu langkah yang luar dari kebiasaan perlu kita lakukan untuk menjamin bekalan makanan untuk rakyat,” katanya.
Pada 5 April lalu, Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau dilantik sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka. – Malaysiapost