Anwar ‘diingatkan’ jaga air muka Umno

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘diingatkan’ agar menjaga air muka pemimpin Umno dan mengenang jasa serta sumbangan Umno dalam bekerjasama membentuk kerajaan hari ini.

Peringatan sinis itu diberikan oleh Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari bagi merujuk kenyataan Anwar mengenai pelantikan Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) yang baharu.

Menurutnya, pengumuman Perdana Menteri untuk menilai semula pelantikan seorang pemimpin Umno sebagai Pengerusi KEDA adalah satu perkara yang kurang wajar.

“Pelantikan itu sudah diumumkan secara terbuka, PMX (Perdana Menteri ke-10) perlu jaga maruah dan air muka pemimpin terbabit.

“Umno sudah memberikan kerjasama yang cukup baik dalam menubuhkan kerajaan perpaduan. Kena ingat jasa dan sumbangan Umno.

“Jangan dilayan seperti melukut di tepi gantang. Semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada 5 April lalu mengumumkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, sebagai Pengerusi KEDA yang baharu.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, pelantikan bekas Ahli Parlimen Baling itu bagi menggantikan Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang memegang jawatan itu sebelum ini.

Perdana Menteri bagaimanapun mengatakan pelantikan dimuktamadkan lagi dan akan diteliti semula.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, surat pelantikan juga belum dihantar kepada bekas Ahli Parlimen Baling itu sekali gus membolehkan penelitian semula dilakukan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights