PADIBERAS Nasional Berhad (BERNAS) menyalurkan sumbangan sebanyak RM20 juta lagi kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk diagihkan kepada pesawah.
Menerusi kenyataan KPKM memaklumkan, seramai 81,153 pesawah di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor akan menerima bantuan khas sebanyak RM250 setiap seorang.
KPKM berkata, pemberian bantuan khas itu akan diselesaikan sebelum Jumaat ini bagi pesawah yang mempunyai maklumat lengkap.
“Pesawah di negeri lain akan menerima bantuan khas itu pada peringkat seterusnya setelah baki sumbangan disalurkan oleh BERNAS,” katanya.
Pada 5 Disember 2022, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa BERNAS bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM60 juta kepada pesawah.
Sumbangan ini akan diberikan secara berperingkat di mana RM10 juta disalurkan kepada KPKM pada penghujung tahun 2022.
Ia telah diagihkan kepada tiga buah negeri di Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Bantuan itu merupakan tambahan kepada Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM200 yang diberikan kepada setiap pesawah seperti diumumkan Anwar pada 29 Mac lalu.
Terdahulu, Bantuan Kewangan Khas Aidilfitri kepada pesawah dan nelayan yang layak sebanyak RM200 seorang sudah dibayar mulai semalam.
KPKM menerusi satu kenyataannya memaklumkan, seramai 240,000 pesawah dan 38,500 nelayan di seluruh negara akan menerima manfaat berkenaan. – Malaysiapost