Kerajaan isytihar Fuad A Kiram sebagai pengganas Sulu

KERAJAAN mengisytiharkan salah seorang ‘waris’ Kesultanan Sulu dikenali sebagai Fuad A Kiram sebagai pengganas berkuat kuasa 6 April lalu.

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, keputusan itu dibuat Kementerian Dalam Negeri terhadap Fuad A Kiram berhubung peranannya dalam pemberontakan Lahad Datu di Sabah sepuluh tahun lalu.

Katanya, pengklasifikasi itu dibuat mengikut Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Fuad juga merupakan salah seorang daripada lapan individu yang mendakwa waris Kesultanan Sulu, terlibat dalam pertikaian undang-undang antarabangsa dengan kerajaan berhubung tuntutan mereka untuk mendapatkan AS$14.92 bilion daripada Malaysia.

“Menteri Dalam Negeri telah menyenarai Fuad atau nama sebenarnya Muhammad Fuad Abdullah Kiram sebagai pengganas,” katanya.

Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata kerajaan juga telah menyediakan laman web khas khusus untuk menyiarkan maklumat kes Sulu.

Sebelum ini, Malaysia menghentikan bayaran wang serahan RM5,300 setahun kepada waris Kesultanan Sulu susulan serangan bersenjata di Lahad Datu, Malaysia pada 12 Februari 2013.

Dalam pencerobohan militan itu, lapan anggota polis terkorban iaitu dalam pertempuran di Kampung Tanduo dan serang hendap di Semporna.

Pada 31 Januari 2018, firma guaman mewakili waris Sultan Sulu, memohon rundingan semula bayaran wang ihsan bawah Perjanjian 1878, failkan permohonan di Superior Court of Justice, Madrid untuk melantik penimbang tara.

Mahkamah Arbitrasi Perancis pada Februari 2021 merekodkan keputusan penimbang tara Dr Stampa bahawa Malaysia perlu bayar RM62.59 bilion (AS$14.92 bilion) kepada waris terakhir Sultan Sulu kerana melanggar Perjanjian 1878.

Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Madrid pada Jun 2021 membatalkan pelantikan Dr Stampa dan memutuskan semua prosiding timbang tara serta keputusannya, termasuk Final Award adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Malaysia memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan Paris pada 12 Julai 2022 untuk menggantung penguatkuasaan Final Award dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris.

Terdahulu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Azalina Said berkata kes tuntutan Sulu ini terhasil apabila sekumpulan warga Filipina yang mendakwa diri mereka sebagai waris Sultan Sulu menuntut bayaran pampasan daripada Malaysia kerana sebahagian Sabah didakwa dipajak kepada negara ini.

Menurutnya, tuntutan kumpulan itu, melalui timbang tara komersial serta prosiding yang dijalankan terhadap Malaysia, dibiayai oleh satu dana litigasi yang dikenali sebagai Therium. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights