Mati pun wajib bayar zakat fitrah

HUKUM zakat fitrah bagi umat Islam yang meninggal dunia perlu dilihat kepada beberapa situasi bagi menentukan sama ada si mati diwajibkan zakat fitrah atau sebaliknya.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, menjelaskan jika seseorang itu meninggal dunia setelah terbenamnya matahari pada akhir Ramadan, maka kewajipan zakat fitrah pada si mati tidak gugur.

Menurutnya, bagaimanapun pelaksanaan zakat fitrah itu wajib diuruskan oleh warisnya.

“Manakala bagi umat Islam yang meninggal sebelum terbenamnya matahari pada akhir Ramadan, maka tidak diwajibkan zakat fitrah,” menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui Irsyad Fatwa Edisi Khas Ramadan.

Penjelasan itu bagi menjawab persoalan mengenai hukum zakat fitrah bagi orang yang meninggal dunia.

Menurutnya, kewajipan membayar zakat fitrah ke atas umat Islam telah termaktub dalam nas syarak iaitu melalui hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar RA.

“Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas umat Islam dengan satu gantang tamar, satu gantang tepung barli sama ada orang yang merdeka atau hamba sahaya, lelaki atau perempuan dalam kalangan umat Islam.” – (Riwayat Muslim: 984)

“Imam al-Nawawi menjelaskan diwajibkan mengeluarkan zakat setelah terbenamnya matahari dan masuknya sebahagian malam aidilfitri.[1] Dengan kata lain, antara syarat diwajibkan bagi umat Islam membayar zakat apabila seseorang itu hidup pada bulan Ramadan dan sempat melalui malam satu syawal,” katanya.

Menurutnya, oleh yang demikian, dalam permasalahan hukum zakat fitrah ke atas orang yang telah meninggal dunia, hal ini perlu dilihat kepada beberapa keadaan iaitu waktu individu tersebut meninggal dunia.

“Jika seseorang itu meninggal setelah terbenamnya matahari pada akhir bulan Ramadan dan telah masuk hari pertama bulan Syawal maka diwajibkan zakat ke atas si mati. Perkara ini dinyatakan oleh al-Qadhi Abu Syuja’,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights