DATUK Mohd Amran Mat Zain dilantik sebagai Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berkuatkuasa 10 April 2023.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar, mengucapkan tahniah dan berharap Mohd Amran dapat menjalankan amanah dengan sepenuh hati demi agama, negara dan ummah.
“Beliau mempunyai pengalaman selama 29 tahun dalam Skim Perkhidmatan Pegawai Syariah apabila mula menyertai perkhidmatan awam sejak tahun 1994.
“Memulakan tugas sebagai Pegawai Syariah di Biro Bantuan Guaman Wilayah Persekutuan, selain pernah bertugas sebagai Pendaftar di JKSM dan Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Mohd Amran yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah (Kepujian), Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Undang-Undang LLM, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sebelum ini diberikan amanah sebagai Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga JKSM.
Mohd Na’im berkata, beliau juga memiliki Diploma Lepasan Ijazah (Pentadbiran dan Perundangan Islam), UIAM serta pernah menjadi Hakim Mahkamah Tinggi Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dan Ketua Hakim Syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.
“Jawatan terakhir beliau di JKSM sebagai Hakim Mahkamah Rayuan. Sepanjang perkhidmatan, beliau turut pernah mengikuti kursus jangka pendek di The Muslim College of London.
“Berpandukan kepada pengalaman luas serta kelayakan yang dimiliki, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) amat yakin dengan kewibawaan beliau untuk menerajui JKSM dalam usaha meneruskan kecemerlangan jabatan,” katanya. – Malaysiapost