PERGERAKAN Pemuda Umno Malaysia menyerahkan memorandum bantahan rasmi berkaitan isu keganasan rejim zionis terhadap Palestin kepada Kementerian Luar Negeri (KLN) di Wisma Putra, semalam.
Memorandum itu diserahkan sendiri oleh Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh kepada Menteri Luar Negeri Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dalam memorandum bantahan itu, Pemuda Umno mencadangkan beberapa langkah yang mungkin dapat diambil KLN, serta diusulkan untuk dibawa ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Organisasi Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN.
Dr Muhamad Akmal, antara cadangannya adalah memperkukuhkan sokongan dan solidariti terhadap Palestin dan mengecam keganasan Israel secara tegas melalui kenyataan umum Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri.
“Mengecam dan membantah tindakan Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia, selain kerajaan Malaysia dicadang mengusulkan resolusi dua negara kepada PBB dan turut disuarakan diperingkat OIC dan ASEAN.
“Malaysia juga perlu mengambil tindakan diplomatik melalui PBB, OIC dan ASEAN untuk menekan Israel agar menghormati hak rakyat Palestin dan mencadangkan agar negara-negara ASEAN lain mempertimbangkan urusan diplomatik dan perdagangan bersama Israel,” menurutnya.
Beliau berkata, selain itu Pemuda Umno juga mencadangkan agar Malaysia melalui OIC dan ASEAN dapat memanfaatkan kekuatan diplomatik di dua platform berkenaan untuk mengambil tindakan bersama dengan negara-negara lain.
Terdahulu pada Jumaat lalu, Pemuda Umno turut mengadakan protes di hadapan Masjid Kampung Baru selepas solat Jumaat bagi menyatakan sokongan solidariti pergerakan tersebut terhadap penduduk di Palestin.

Protes itu termasuk dengan membakar bendera Israel adalah bagi mengecam tindakan kejam rejim Zionis yang melakukan serangan terhadap jemaah dan menceroboh di Masjid Al-Aqsa. – Malaysiapost