Pengampunan Najib: ‘Hassan jangan pilih bulu’ – Puad
AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi mengingatkan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim supaya tidak bersikap pilih kasih berhubung isu pengampunan diraja Datuk Seri Najib Razak.
Ia susulan kenyataan Hassan yang mendakwa imej baik kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini tercemar dengan isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak dan penangguhan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Hassan tidak boleh ‘double standard’. Bila Anwar dapat pengampunan Diraja apakah ia mala petaka pada kerajaan yang memerintah ketika itu?
“Kalau Zahid dan Najib jadi isu sepatutnya dari awal lagi Hasssn membantah penubuhan kerajaan Perpaduan yang melibatkan Barisan Nasional (BN),” katanya menerusi Facebook.
Mohd Puad juga menyifatkan Hassan sebagai seorang individu ‘kaki U-turn’ apabila membuat dua kenyataan berbeza berhubung perkara itu hanya dalam tempoh 24 jam.
“Menurut Hassan imej baik kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim tercalar kerana isu pengampunan Najib. Sebelum ini dia kata ok. Kerajaan tidak retak.
“Selepas 24 jam dia cakap lain pula. Kenapa pusing? Kali ini Hassan dakwa ia adalah malapetaka pada Anwar. Apakah itu bermakna Anwar boleh mempengaruhi keputusan pengampunan?.
“Permohonan representasi Zahid adalah haknya yang dibenarkan dalam proses perundangan. Soal berjaya atau tidak itu soal lain. Mana boleh seorang peguam macam Hassan tidak tahu,” katanya.
Sebelum ini, Hassan mendakwa permohonan Umno kepada Yang di-Pertuan Agong supaya mengampunkan Najib tidak akan memberi sebarang tekanan atau dilema kepada Perdana Menteri.
Malah, Hassan menyifatkan soalan tersebut tidak relevan dan tidak berbangkit.
Namun semalam, Hassan mendakwa imej baik kerajaan pimpinan Anwar tercalar dan tercemar dengan isu pengampunan Najib dan penangguhan kes Zahid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Anwar mengakui beliau berada dalam Lembaga Pengampunan, namun menegaskan kuasa memberi keampunan adalah di bawah Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 42(1) dan 42(2) Perlembagaan Persekutuan.
Susulan itu, Perdana Menteri menegaskan tidak timbul konflik kepentingan dalam hal itu kerana ada proses yang perlu diikuti dan keputusan akhir adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost