SEORANG pemimpin veteran Umno mendakwa penggunaan kad Touch ‘n Go di Lebuhraya PLUS dan lebuh raya yang lain sesuai untuk golongan ‘marhaen’ di negara ini.
Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Shahrir Samad berkata ini kerana syarat penggunaan kad Touch ‘n Go tidak terlalu ketat.
Jelasnya, pemilik cuma perlu meletakkan sejumlah wang dalam kad berkenaan bergantung kepada kemampuan masing-masing berbanding jika menggunakan kad kredit atau debit.
“Menteri Pengangkutan berhujah kalau hanya kad Touch ‘n Go serta e-walletnya sahaja boleh dipakai di Lebuhraya PLUS dan lebuh raya yang lain, ia bukan persaingan perniagaan yang sihat. Kata menteri itu, tidak baik untuk ekonomi negara.
“Buat masa ini, tempat-tempat letak kereta sudah pakai sistem pembayaran kad yang juga terbuka kepada Visa dan Mastercard, iaitu kad kredit dan debit. Bukan hanya Touch ‘n Go.
“Hanya perbezaan antara Touch ‘n Go dengan kad kredit dan kad debit ialah status ekonomi pemilik kad-kad tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Menurut Shahrir, kad kredit dan debit memerlukan pemiliknya mempunyai akaun bank yang agak ‘berisi’.
Katanya, kad kredit perlu bersandar kepada dana simpanan yang sama banyak dengan had atau ‘limit’ perbelanjaan dengan kad kredit itu.
Kad debit pula menurutnya, perlu kepada akaun bank yang betul-betul berisi kerana perbelanjaan dengan kad debit akan terus dipotong (atau didebit) dari akaun bank itu.
“Kad Touch ‘n Go tidak terlalu ketat syarat penggunaannya kerana kita yang perlu meletakkan sejumlah wang dalam kad berkenaan. RM10 ke. Atau RM50 ke, ia bergantung kepada kemampuan dan keperluan kita menggunakan kad itu.
“Jadi mana satu yang lebih marhaen? Tapi DAP tidak minat dengan mana yang marhaen,” katanya lagi.
Baru-baru ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kementeriannya telah mengarahkan semua agensi termasuk operator pengangkutan awam di bawah kementerian untuk mengaplikasikan sistem pembayaran terbuka.
Pelaksanaan sistem itu katanya, akan membolehkan orang ramai yang menaiki pengangkutan awam untuk menggunakan sistem pembayaran tambahan selain Touch ‘n Go seperti kad kredit atau debit ketika membuat pembayaran. – Malaysiapost