Saya turut tanggung keperitan – Ke Ting

Saya turut tanggung keperitan – Ke Ting

“KATA-KATA saya tidak dapat membawa arwah kembali ke pangkuan keluarga, tetapi saya ingin sampaikan kepada keluarga mereka, bahawa saya turut memikul keperitan tragedi itu.”

Demikian luahan kerani wanita, Sam Ke Ting selepas dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan hari ini daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak dalam insiden tujuh tahun lalu.

Menurut Ke Ting, kemalangan itu tidak disengajakan dan pemikirannya pada setiap detik dihantui kejadian malang yang mengorbankan remaja tersebut yang akan dibawanya hingga ke kubur.

Ujar wanita berusia 28 tahun itu, peristiwa berkenaan sentiasa bermain di fikirannya malah sering tertanya-tanya mengenai kehidupan dan masa depan keluarga lapan remaja yang terkorban akibat kemalangan itu.

“Apa sahaja yang saya katakan tidak akan memberi ketenteraman kepada kehidupan keluarga mangsa.Mereka pastinya berkecamuk dengan pelbagai perasaan yang tidak patut dialami.

“Saya dengan suci hati memohon maaf kepada mereka walaupun saya tahu dan faham bahawa kemaafan itu berat untuk diterima,” katanya pada sidang media di lobi Istana Kehakiman.

Wanita itu turut meluahkan rasa simpati terhadap nasib dan penderitaan yang dialami keluarga mangsa.

Pada masa sama, dia mengucapkan terima kasih kepada mahkamah dan hakim kerana mendengar pembelaannya dengan adil. – Malaysiapost

Komen