‘Syed Saddiq tak pernah maklum kutipan dana untuk ganti wang sendiri’

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan pada satu tarikh ditetapkan kemudian bagi keputusan akhir kes bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didakwa bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat ketetapan itu selepas selesai mendengar hujahan di akhir kes pembelaan oleh peguam bela Gobind Singh Deo yang mewakili Ahli Parlimen Muar tersebut semalam dan hujahan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin hari ini.

Menurut Azhar, beliau memerlukan masa untuk meneliti hujahan berkenaan sebelum memberikan keputusan akhir.

Pasukan pembelaan menutup kesnya pada 14 Mac lepas selepas memanggil lima saksi memberikan keterangan, yang termasuk Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu sendiri, bekas pegawai khasnya, Mohamed Amshar Aziz, bekas Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin dan bekas setiausaha peribadinya, Siti Nurul Hidayah.

Ketika di awal prosiding hari ini, Wan Shaharuddin berhujah, Syed Saddiq tidak pernah memberitahu sesiapa bahawa kutipan wang melalui majlis meraih dana iaitu Makan Amal Muo dan Battle For Johor pada 7 dan 8 April 2018 adalah untuk menggantikan wangnya yang didahulukan bagi kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Menurut Wan Shaharuddin, beliau sepatutnya memberitahu bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Rafiq Hakim Razali yang menguruskan akaun bank Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) mengenai tujuan program meraih dana itu diadakan.

“Tetapi apa yang menghairankan perkara itu tidak pernah berlaku sedangkan beliau bukan seorang yang tidak berpelajaran.

“Jika benar wang kutipan adalah bagi tujuan kempen, apa salahnya jika ia disimpan dalam akaun ABBE dan hanya dikeluarkan kepada tertuduh berdasarkan penggunaan sahaja dan jika ada baki, boleh digunakan oleh ahli Bersatu dan Armada yang lain bagi tujuan kepentingan parti.

“Namun, daripada mengambil tindakan sedemikian, tertuduh mengarahkan keseluruhan wang hasil majlis meraih dana itu dipindahkan terus ke dalam akaun peribadinya,” katanya.

Tambah Wan Shaharuddin lagi, jelas menunjukkan bahawa Syed Saddiq telah secara tidak jujur menyalahgunakan harta untuk diri sendiri seperti di dalam pertuduhan.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Beliau juga didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang terbabit.

Ahli Parlimen Muar itu juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing berjumlan RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai hasil aktiviti haram. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights