TVET bukan pendidikan kelas kedua
PENDIDIKAN Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan pendidikan kelas kedua walaupun antara stigma yang sering diutarakan ramai.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata hakikatnya graduan TVET mempunyai kadar kebolehpasaran dan gaji permulaan lebih tinggi berbanding pendidikan tinggi.
Ini katanya, seiring dengan Laporan Khazanah Research Institute (KRI) “Unlocking the Earning Potential of TVET Graduates” bertarikh 6 April 2023.
“Saya yakin MARA akan terus menerajui agenda TVET negara berbekalkan pengalaman, kepakaran dan kekuatan institusi dan capaian di seluruh negara melalui Giat MARA, IKM, KKTM, MJII, GMI dan UniKL.
“Kerajaan juga akan terus komited untuk memperkasakan agenda TVET ke tahap lebih tinggi kerana ia bukan sahaja meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat.
“Malah penting untuk menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) baharu melalui penyediaan bakat-bakat dan tenaga kerja bersesuaian,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Pagi tadi beliau melawat ke Bahagian Kemahiran dan Teknikal (BKT) MARA di ibu negara dan mendengar taklimat Pengarah BKT, Nuriman Yusop.
Beliau berkata, pihaknya di Majlis MARA akan terus memastikan TVET MARA terus diperkasakan demi rakyat dan negara. – Malaysiapost