KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mendedahkan tujuh daripada sembilan kontrak bernilai RM1.103 bilion yang masih berkuatkuasa antara kementerian itu dan syarikat Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) adalah secara rundingan terus.
Perkara itu dimaklumkan melalui jawapan bertulis Menteri Dalam Negeri Darul Seri Saifuddin Nasution Ismail kepada Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng bagi pertanyaan di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Jawapan itu dikongsikan Guan Eng yang juga Pengerusi DAP dalam satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
“Tempoh hari saya bertanyakan Menteri Dalam Negeri di sidang Parlimen mengenai projek-projek yang diberikan kepada syarikat Datasonic yang selama ini mencetuskan kontroversi kerana didakwa membabitkan ahli keluarga pemimpin tertentu. Ikuti jawapan diberikan,” katanya.
Pada 29 Mac lalu Guan Eng meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan kedudukan tentang penganugerahan kontrak kepada Datasonic dan jumlahnya serta sama ada kontrak itu diteruskan atau ditender semula.
Berdasarkan jawapan bertulis itu, keseluruhan terdapat sembilan kontrak yang masih berkuatkuasa antara KDN dengan DTSB.
“Sebanyak lima kontrak dibawah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan empat kontrak dibawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang masih berkuatkuasa.
“Tujuh daripada sembilan kontrak adalah secara rundingan terus antara tahun 2016 hingga 2022, manakala baki dua kontrak adalah secara tender terbuka,” katanya.
Menurut Saifuddin, kesemua kontrak tersebut masih berkuatkuasa dan mengikut jadual pelaksanaan yang telah ditetapkan sebagaimana dinyatakan dalam dokumen perjanjian.
“DTSB dimiliki 100 peratus oleh Datasonic Group Bhd (DGB). Syarikat ini berstatus Bumiputera. KDN tidak boleh mengawal pemilikan saham DGN ini.
“DTSB memiliki kemampuan/kapasiti melaksanakan kerja-kerja percetakan keselamatan kerana memiliki kilang, sijil Kementerian Kewangan (MoF) dan Sijil Cetakan Dokumen Keselamatan oleh Pejabat Ketua Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) yang membenarkan mereka terlibat,” katanya.
Turut dilampirkan dalam jawapan bertulis itu adalah senarai kontrak DTSB dengan KDN membabitkan JIM dan JPN.
Senarai kontrak DTSB dengan JIM secara rundingan terus adalah perluasan sistem e-Gate warga asing di Pejabat Imigresen Bangunan Sultan Iskandar, Johor (RM5.777 juta).
“Pembelian kad pekerja asing (i-Kad) JIM (RM140 juta); pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip (RM350 juta); dan pembekalan dokumen pasport Malaysia antarabangsa JIM (RM223 juta).
“Pembekalan muka surat biodata polycarbonate untuk kegunaan JIM (RM270 juta),” menurut lampiran itu.
Sementara kontrak DTSB dengan JPN yang juga secara rundingan terus adalah pembekalan kad mentah MyKad (RM50.11 juta); dan pembekalan peralatan dan perisian untuk percetakan teragih MyKad (RM1.07 juta).
“Kontrak bagi tender terbuka dengan JPN pula adalah perkhidmatan penyelenggaraan pusat pengeluaran kad secara komprehensif di JPN (RM39.75 juta); dan perkhidmatan mereka bentuk, mencetak, membekal dan menghantar pelbagai dokumen keselamatan JPN (RM22.49 juta),” katanya.
Nilai keseluruhan kontrak DTSB dengan JIM adalah sebanyak RM990,006,200 manakala JPN pula adalah sebanyak RM113,435,103.50. – Malaysiapost