Anwar luluskan elaun khas UTK

Anwar luluskan elaun khas UTK

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan elaun bulanan khas kepada Unit Tindakhas (UTK) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berita gembira berkenaan dikongsikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memaklumkan kelulusan elaun khas itu diberikan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan semalam.

“Sewaktu sambutan Ulang tahun ke-48 UTK pada 1 Januari lalu, saya nyatakan komitmen antaranya untuk memastikan kebajikan anggota UTK terjaga.

“Alhamdulillah, semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyerahkan kelulusan elaun bulanan khas kepada anggota UTK.

“Moga berita baik di bulan Ramadan ini akan meningkatkan lagi motivasi anggota UTK dalam menabur bakti kepada negara, Insya-Allah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalannya, Tan Sri Razarudin Husain serta seluruh warga PDRM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan susulan berita baik itu.

“Seluruh warga PDRM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan atas keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan para pegawai dan operatif UTK PDRM dengan meluluskan elaun bulanan khas kepada mereka.

“Semoga dengan kelulusan tersebut memberi suntikan semangat untuk para pegawai dan operatif UTK terus menabur bakti menjaga keamanan serta keselamatan negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen