DAP jangan main api soal kedaulatan negara – Wan Ahmad Fayhsal
KEBODOHAN dan kedangkalan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) khususnya Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee Chuan How dalam memahami isu kedaulatan perairan Malaysia di Laut China Selatan membimbangkan.
Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata pemimpin berkenaan sepatutnya menasihatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu itu.
Menurutnya, pendirian Malaysia sebelum ini amat jelas bahawa kita akan mempertahankan hak negara di Laut China Selatan tanpa menjejaskan hubungan baik dua hala Malaysia-China.
“Sebagai Ahli Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri kepada Menteri Luar Negeri, Howard sepatutnya tegas dalam mempertahankan kedaulatan perairan Malaysia. Mana mungkin wilayah negara boleh dibawa ke meja rundingan.
“Kita semua tahu bahawa China berhasrat agar negara-negara ASEAN yang terlibat dalam tuntutan bertindih Laut China Selatan menerima solusi ‘nine-dash line’ yang amat jelas sekali ditentang keras oleh negara-negara terlibat termasuk Malaysia.
“Tuntutan tidak berasas China ini merangkumi dalam 80 peratus daripada keseluruhan Laut China Selatan yang kaya dengan minyak mentah, gas asli dan sumber laut lainnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang, mengulas mengenai kenyataan Howard yang mengatakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada bodoh atau pura-pura bodoh mengenai perihal hubungan antarabangsa.
Howard merujuk kritikan Muhyiddin yang memberi amaran bahawa kenyataan Anwar di Dewan Rakyat mengenai kerajaan terbuka berunding dengan China isu pertikaian Laut China Selatan yang boleh dianggap memperakui tuntutan China.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, Howard wajar melihat kedudukan geografi ‘nine-dash line’ dan berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan mengenai isu berkenaan.
“Howard sepatutnya menasihatkan Perdana Menteri untuk lebih tegas dan jantan dalam mempertahankan hak Malaysia seperti yang dilakukan oleh mantan Menteri Luar Negeri, Datuk Sri Saifuddin Abdullah sebelum ini.
“China adalah rakan dan sekutu besar kita dari dulu, sekarang dan akan datang. Takdir geografi meletakkan kita dan China sebagai jiran tetangga yang amat penting.
“Tetapi itu tidak bermakna perbezaan pendapat dan pendirian dalam soal geopolitik perlu melenturkan “posture” kita dalam diplomasi seperti yang dibuat oleh Anwar dalam Dewan Rakyat baru-baru ini,” katanya.
Menurutnya, seorang Perdana Menteri perlu tegas, berhemah dan berhati-hati dalam menuturkan pendirian negara.
“Adakah Howard tidak peka dengan keputusan Tribunal Timbangtara di The Hague pada 13 Julai 2016 yang telah menolak tuntutan China berdasarkan hujah ‘nine-dash line’ terbabit?
“Howard mengambil sedikit masa untuk membelek penghakiman setebal 497 muka surat itu, mungkin Howard akan menyedari bahawa dirinya telah nampak bodoh dan beliau patut malu pada dirinya sendiri akibat daripada kebodohan itu.
“Ini kerana tribunal antarabangsa di The Hague sendiri sudah menyatakan dengan jelas kedudukan dan hak negara-negara di sekitar Laut China Selatan termasuklah Malaysia,” katanya. – Malaysiapost