Hampir 60,000 mohon FSA 2 KWSP

SETAKAT semalam seramai 59,230 orang telah memohon Fasiliti Sokongan Akaun Dua (FSA2) KWSP sejak ia mula dibuka 7 April lalu.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata daripada jumlah itu mereka yang layak adalah seramai 27,705.

“Ini kerana kerana kita dah maklumkan bahawa hanya yang berumur 40 ke atas yang layak, bermakna selebihnya itu berumur 40 tahun ke bawah,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Sementara itu Ahmad berkata, kerajaan tetap tidak membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) walaupun ada cadangan supaya memberikannya kepada ahli yang benar-benar terdesak.

Ahmad berkata beliau telah menjawab perkara itu di Dewan Negara dan jawapannya sudah diketahui semua orang bahawa kerajaan tidak bercadang untuk memberikan pengeluaran KWSP.

Namun beliau menjelaskan pengeluaran masih boleh dibuat bagi tujuan perumahan, pendidikan, kesihatan, pelan perlindungan tertentu seperti sakit kronik dan sebahagian kos haji RM3,000.

“Kita tak kata apabila kita tak benarkan, maka tak boleh keluar KWSP. KWSP masih lagi boleh dikeluarkan. Ada lima perkara yang boleh dikeluarkan untuk Akaun 2 KWSP, bukan kita tak benarkan.

“(Namun) Akaun 1 memang tidak dibenarkan untuk pengeluaran kerana ia adalah khas untuk tujuan persaraan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights