TIMBALAN Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan kira-kira RM11 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) milik awam yang masih belum dituntut setakat Mac lalu.
Beliau berkata, Jabatan Akauntan Negara (JANM) menerima serahan WTD selaras dengan Seksyen 8 Akta Wang Tak Dituntut (Akta 370) daripada syarikat atau firma berjumlah kira-kira RM14.1 bilion dari tahun 1977 sehingga bulan lalu.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira RM3.2 bilion dibuat bayaran balik kepada empunya seperti akaun simpanan, insurans dan deposit, katanya.
“Sebahagian besar daripada RM11 bilion WTD ini, kerajaan laburkan dalam simpanan tetap selaras dengan Akta Tatacara Kewangan 1957, (dan) faedah yang diperoleh (daripada simpanan tetap) diakaunkan ke Akaun Hasil Disatukan.
“Daripada simpanan tetap itu, kita dapat faedah RM250 juta dan wang itu kita guna untuk rakyat,” katanya.
Ahmad berkata, WTD ditakrifkan sebagai wang yang kena dibayar di sisi undang-undang kepada empunya tetapi tidak dibayar dalam satu tempoh masa lebih setahun, wang dalam kredit sesuatu akaun yang telah tidak dikendalikan oleh empunya dengan apa cara sekalipun dalam satu tempoh lebih tujuh tahun.
Serta wang dalam kredit sesuatu akaun dagangan yang telah tidak dikendalikan melalui apa-apa urus niaga dalam satu tempoh masa lebih dua tahun.
Justeru katanya, pemilik WTD diseru supaya menuntut wang masing-masing dengan mengemukakan permohonan melalui portal eGUMIS, kaunter JANM di seluruh negara atau melalui mel yang dihantar terus ke pejabat WTD Putrajaya.
Menurutnya, portal eGUMIS yang dilancarkan pada 2020 menerima kira-kira 17.2 juta pelawat setakat bulan lepas dengan bilangan pengguna berdaftar adalah hampir 4.4 juta pengguna.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 354,912 permohonan tuntutan WTD dalam talian telah diterima dan daripada jumlah itu, sebanyak RM199 juta amaun tuntutan WTD telah diproses,” katanya.
Ahmad berkata, JANM sedang membangunkan aplikasi mudah alih eGUMIS Mobile yang dijangka boleh mula digunakan pada suku keempat tahun ini. – Malaysiapost