KPDN kawal harga barang sempena Aidilfitri

KPDN kawal harga barang sempena Aidilfitri

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 yang akan berkuatkuasa dari 15 hingga 30 April ini.

Menterinya Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata tempoh pelaksanaan skim itu adalah selama 16 hari termasuk dua hari perayaan dan kementeriannya sudah mengenalpasti sebanyak 30 jenis barangan yang akan dikawal harganya.

Beliau berkata, ia adalah termasuk enam jenis barangan daripada kategori ayam dan telur dibawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam yang sedang berkuatkuasa sejak 5 Februari lalu.

“Tempoh pelaksanaan SHMMP Hari Raya Puasa 2023 kali ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga.

“Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan skim yang terlalu lama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, senarai makanan, paras harga maksimum dan te.pih pelaksanaan ditentukan berdasarkan beberapa faktor seperti cuaca, ekonomi global, kadar tukaran wang asing, kadar upah dan permintaan serta penawaran.

“SHMMP Hari Raya Puasa 2023 akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 yang membolehkan penentuan harga di buat.

“Harga maksimum yang telah ditetapkan diperingkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web KPDN,” katanya.

Salahuddin berkata, pegawai-pegawai Penguatkuasa KPDN akan ditugaskan dilokasi-lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan bagi membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Beliau berkata, KPDN juga sentiasa menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang te.oih pelaksanaan skim.

“Kerajaan harap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan kawalan harga.

“Adalah diingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim berkenaan termasuk denda sehingga RM100,000, atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mendapati peniaga tidak mematuhi undang-undang berkenaan skim berkenaan, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada kementerian. – Malaysiapost

Komen