KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menafikan sekerasnya spekulasi yang tersebar melalui WhatsApp yang mendakwanya menghadapi krisis tunai serta ketidakcukupan wang untuk membayar pengeluaran pra-persaraan.
Dalam satu kenyataan, KWSP menegaskan sentiasa mengekalkan kecairan yang mencukupi untuk memenuhi semua komitmennya.
Menurutnya, segala aktiviti jual beli aset luar negara adalah sebahagian daripada operasi pelaburan KWSP mengikut alokasi aset strategiknya, dan bukan untuk membayar pengeluaran pra-persaraan.
“Malah, terdapat peningkatan yang stabil dalam keseluruhan pelaburan asing KWSP sejak beberapa tahun yang lepas, walaupun semasa berlakunya krisis Covid-19.
“Selain itu, KWSP juga menyangkal spekulasi bahawa Akta KWSP 1991 akan dipinda untuk menghalang pesara daripada mengeluarkan simpanan mereka,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut KWSP, spekulasi itu telah merujuk kepada rencana akhbar oleh Business Times Singapura bertarikh 7 April 2023 yang bertajuk “Bank Negara says Malaysians could run out of savings 19 years too soon”.
KWSP berkata apa diketengahkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) di dalam laporannya ialah situasi yang membimbangkan bagi pesara yang disebabkan isu struktur seperti gaji rendah, yang sememangnya wujud sebelum pandemik melanda.
“Simpanan median untuk kumpulan umur 51-55 hanya akan bertahan lima tahun selepas pengeluaran pada umur 55, dan ia telah menurun kepada sekitar tiga tahun selepas pengeluaran berkaitan pandemik.
“Laporan itu selanjutnya menyatakan bahawa rata-rata rakyat Malaysia akan menghadapi risiko kehabisan simpanan persaraan 19 tahun sebelum kematian, dengan jangka hayat global meningkat kepada 77 tahun ke atas menjelang 2050,” katanya.
Katanya, golongan millenial dalam lingkungan umur 26 hingga 40 tahun berkemungkinan menghadapi cabaran kewangan yang ketara, kerana ramai menghadapi kesukaran untuk memenuhi had Simpanan Asas KWSP sebanyak RM240,000.
“Situasi ini boleh menjejaskan potensi peluang peningkatan simpanan sehingga RM94,000 apabila mereka bersara pada usia 60 tahun, seterusnya menjadikan mereka antara kumpulan demografi yang paling terkesan.
“Pengeluaran khas berkaitan pandemik juga telah menyebabkan pengurangan ketara dalam jumlah simpanan persaraan ahli,” katanya.
Menurut KWSP, sehingga Mac 2023, sebanyak 70.5 peratus daripada 7.2 juta ahli sektor formal aktif berumur 18 hingga 55 tahun tidak memenuhi had Simpanan Asas KWSP mengikut umur.
Katanya, sebanyak 3.1 juta atau 39 peratus ahli yang membuat pengeluaran khas dan berumur di bawah 55 tahun setakat Januari 2023 masih belum mula membina semula simpanan mereka.
“Tahap simpanan mereka kekal rendah, dengan median simpanan sebanyak RM890. Keutamaan KWSP adalah membina semula simpanan persaraan dan memperluaskan perlindungan kepada yang berada di luar skop semasa Akta KWSP 1991.
“KWSP juga sedang berbincang dengan Kerajaan mengenai pembaharuan yang berpotensi untuk menangani isu ketidakcukupan simpanan persaraan yang semakin terjejas akibat pandemik,” katanya.
KWSP menyarankan ahli agar hanya rujuk kepada berita sahih daripada sumber rasmi, dan bukannya spekulasi melalui media sosial. – Malaysiapost