Lebuhraya DUKE bakal laksana sistem pembayaran terbuka

LEBUHRAYA Duta-Ulu Kelang Expressway (Duke) menjadi syarikat konsesi lebuh raya terkini yang bakal melaksanakan sistem pembayaran terbuka di plaza tol lebuh raya kendaliannya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata persetujuan dicapai hasil perbincangan dengan Duke menjadikan keseluruhan lebuh raya yang akan terlibat dalam pelaksanaan sistem pembayaran terbuka kepada 12, yang dijangka bermula pada September 2023.

Katanya, lebuh raya terlibat termasuk Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie, Jambatan Pulau Pinang, Lebuhraya Butterworth–Kulim, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP).

Selain itu Skim Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Terowong SMART serta Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX).

Beliau memaklumkan Lebuhraya Duke dipilih sebagai lokasi kedua pelaksanaan Proof of Concept (POC) selepas Lebuhraya Sungai Besi bagi menilai sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF) sebelum ia dilaksanakan di semua lebuh raya dalam negara.

“Seperti diketahui umum, pelaksanaan sistem pembayaran tol terbuka ini adalah persediaan awal peralihan ke arah MLFF sebelum dilaksanakan sepenuhnya secara berfasa selewat-lewatnya suku ketiga 2024.

“Usaha ini diharap dapat memberi peluang kepada kerajaan, syarikat konsesi serta pihak terlibat untuk mengenal pasti dan menyelesaikan segala isu-isu yang dapat merencatkan kelancaran pelaksanaan MLFF ini kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanta berkata, ketika ini pelaksanaan sistem pembayaran terbuka, POC dan MLFF masih mengikut jadual dan kementeriannya giat berusaha memastikan semua perancangan dapat dijayakan dengan lancar.

“Saya mohon kerjasama semua pihak agar bersabar dan memberi sedikit masa kepada pasukan di kementerian ini yang komited dalam melaksanakan sistem pembayaran terbuka ini, sekali gus memastikan transisi MLFF ini dapat dilaksanakan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights