‘Masih jauh perjalanan mu anak, baru sedikit kamu menapak’ – Rita Rudaini

TIADA apa yang membahagiakan bagi seorang ibu apabila melihat kejayaan anak dalam akademik mahupun sahsiah diri.

Itulah yang berlaku kepada pelakon, Rita Rudaini, 49, yang turut berkongsi rasa gembira dan bangga selepas anak sulungnya, Airit Rayyan Rizqin, 14, berjaya memperoleh Anugerah Pengetua atas kecemerlangannya dalam akademik.

Menerusi hantaran di Instagramnya, Rita berkata, kejayaan Airit Rayyan yang bersekolah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab, Gemencheh, Negeri Sembilan turut menjadi hadiah istimewa sempena hari jadinya yang diraikan, semalam.

“Tahun lepas ‘birthday’ Mommy, Ryan bg hadiah dapat tempatkan diri di MRSM.. tahun ni Rayyan bagi hadiah lagi dapat Anugerah Pengetua dengan ‘pointer’ tinggi

“Syukur Alhamdulillah… Mommy tak minta lebih cuma Mommy nak anak-anak Mommy buktikan pada diri sendiri dan kepada orang di luar sana yg kita mampu berjaya,” tulisnya.

Dalam pada itu, Rita turut menasihati anaknya itu supaya tidak mempedulikan cemuhan dan kejian orang, selain yakin Allah sentiasa ada untuk mereka.

“Jadi terbaik untuk diri sendiri bukan untuk puaskan hati orang lain… terima kasih Allah kerana hadiah rezeki anak-anak yang baik untuk ku.. sudah memadai…rezeki Ramadan,” katanya.

Anugerah Pengetua MRSM merupakan anugerah yang diberikan kepada pelajar yang memperoleh Purata Nilaian Gred (PNG) 3.50 dan ke atas.

Dalam hantaran itu juga, pelakon itu turut berkongsi video anaknya berjalan di atas pentas untuk mengambil anugerah, selain video berbentuk ucapan yang dibuat oleh Rayyan ibunya.

“Assalamualaikum Mommy. Selamat hari jadi. Ini hadiah daripada saya. Saya doakan semoga mommy panjang umur dan murah rezeki,” ucap Airit Rayyan.

Sementara itu dalam hantaran Instagram terbaharu, Rita menjelaskan kejayaan Airit Rayyan itu adalah permulaan perjalanan menjadi ketua keluarga dalam kehidupan mereka bertiga.

“Masih jauh perjalanan mu anak, baru sedikit kamu menapak, jangan sesekali kamu mendongak tinggi.

“Ingat pesan Mommy, selalulah melihat kaki mu melangkah agar tidak tersalah haluan dan tersesat jalan ‘fly high and time to shine my Ryan’,” katanya.

Untuk rekod, Rita pernah mendirikan rumah tangga dengan pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abdul Radzak pada tahun 2008.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 13, dan Airit Qaqa Arjuna, 11. Bagaimanapun pasangan itu bercerai pada September 2013. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights