MCA gesa KDN bantu kanak-kanak lahir di Malaysia tanpa kerakyatan

MCA menyambut baik pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berhubung sasaran Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memproses sekurang-kurangnya 10,000 permohonan kewarganegaraan menjelang akhir tahun ini.

Timbalan Pengerusi Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA, Neow Choo Seong berkata sebanyak 150,000 permohonan telah diterima, dan KDN telah memproses serta membuat keputusan sama ada untuk meluluskan atau menolak 5,700 permohonan sejak Januari lalu.

Namun begitu, katanya, MCA berharap kerajaan mengambil peluang ini untuk melihat isu anak yang dilahirkan di negara ini oleh ibu bukan warganegara Malaysia dengan bapa warganegara Malaysia, tetapi tidak diberikan kerakyatan automatik.

“Penyumbang besar kepada kes ini berlaku apabila pasangan mendaftar perkahwinan mereka lewat, atau apabila ibunya melarikan diri pulang ke negara asal seperti Thailand, Vietnam, Indonesia dan Kemboja selepas bersalin.

“Sekatan kerana kekurangan kerakyatan sudah pasti akan merampas kehidupan kanak-kanak yang lengkap, kerana mereka menghadapi pelbagai halangan dalam hidup termasuk mendapatkan pendidikan dan penjagaan kesihatan, serta hak asasi manusia.

“Sebagai orang dewasa tanpa kerakyatan, ia akan menyukarkan mereka untuk bekerja dan menjalani kehidupan normal berbanding orang lain.

“Ini mungkin membebankan ahli keluarga mereka dan membawa kepada lebih banyak masalah sosial,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesilapan ibu bapa tidak sepatutnya jatuh ke bahu anak, terutama dalam hal teknikal seperti mendaftar lewat perkahwinan mereka.

“Justeru, MCA menggesa kerajaan dan KDN supaya komited dalam menyelesaikan isu ini dan melindungi kepentingan kanak-kanak ini.

“MCA sedia menghulurkan bantuan kepada kerajaan dalam usaha ini. Sesiapa yang menghadapi situasi yang dinyatakan di atas boleh hubungi Ibu Pejabat MCA melalui talian hotline di 03-22033888 atau menghubungi mana-mana cawangan MCA di seluruh negara untuk mengemukakan permohonan kepada saya.

“Saya akan mengumpul semua permohonan dan tindakan susulan sewajarnya ke arah penyelesaian isu tersebut,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights