MRSM Gemencheh dah lahirkan 957 huffaz profesional sehingga kini

SEHINGGA hari ini, seramai 957 huffaz berjaya dibentuk melalui modul Ulul-Albab di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Gemencheh, Negeri Sembilan.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata rekod pencapaian akademik MRSM berkenaan juga membanggakan.

Beliau yakin model Ulul-Albab itu formula ampuh yang boleh membina generasi Quranik Unik (al-Jiil Quraniyyu al-Farid) berdaya saing, berdaya saring dan berdaya maju yang mampu mendepani cabaran mendatang lebih hebat dan mencabar.

“Perjalanan pagi ini ke Gemencheh mengambil masa hampir 2 jam setengah. Sepanjang perjalanan, saya mengambil peluang untuk menelaah nota-nota maklumat yang disediakan MARA termasuklah MRSM Ulul Albab Gemencheh.

“Tenang lagi Aman. Inilah perasaan saya sejurus memasuki perkarangan maktab yang mula beroperasi pada tahun 2007. Mungkin inilah keberkatan yang lahir dari lafaz-lafaz ayat suci Al-Quran oleh anak-anak Ulul-Albab di MRSM ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkongsi mengenai lawatannya ke MRSM Gemencheh hari ini yang merupakan MRSM ketiga di Negeri Sembilan, selepas Kuala Klawang dan Serting.

Menurutnya, selepas mengadakan sesi dialog dengan warga MARA Negeri Sembilan dan tenaga pengajar MRSM, beliau sempat juga meninjau ke kelas-kelas, asrama, tandas asrama, dewan selera dan kawasan cerun yang berisiko untuk runtuh.

“Insya-Allah selain RM500,000 yang telah diluluskan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan penukaran aset-aset lama, saya akan bawa segera cadangan peruntukan untuk membaiki cerun ke Majlis MARA,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights