PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi kegembiraan menyambut kelahiran cucunya yang ke-12, hari ini.
Perdana Menteri berkongsi berita gembira itu menerusi hantaran di Facebooknya, sebentar tadi.
“Alhamdulillah! Hadiah Ramadan. Nurul Isra Mitsuki, anakanda Ilham dan Luqman Watanabe.
“Cucunda saya dan Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) yang ke-12. Bertambah meriah raya kali ini,” tulisnya.
Anwar turut berkongsi sekeping foto sedang mendukung bayi berkenaan.
Netizen tidak melepaskan peluang mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri di atas kehadiran ahli baharu dalam keluarganya.
Difahamkan, cucu ke-12 Anwar dan Dr Wan Azizah itu merupakan anak keempat Nurul Ilham. – Malaysiapost