Pemimpin Pemuda Umno perlu ada sekurang-kurangnya diploma

KETUA Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh mahu setiap pemimpin bahagian dan pusat sayap itu memiliki sekurang-kurangnya tahap pendidikan peringkat diploma.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau berkata, Pemuda Umno bukan sahaja perlu berani tetapi mesti dilengkapi dengan ilmu.

“InsyaAllah di bawah pentadbiran saya, saya akan memastikan kesemua pimpinan pemuda Umno bahagian hingga ke peringkat Pusat mesti mempunyai sekurangnya-kurangnya diploma sebelum sesi pentadbiran ini tamat.

“Kita mahu melahirkan pemimpin generasi masa hadapan yang berkualiti dari semua aspek. Pemuda Umno mesti berani dan berilmu,” katanya menerusi Facebook.

Sebelum ini, Dr Muhamad Akmal menegaskan sekiranya mana-mana pimpinan Pemuda Umno tidak mempunyai kelayakan tersebut, pihaknya akan mengusahakannya dengan mana-mana pusat pengajian tinggi.

“Bagi mereka yang tidak mempunyai diploma ini kita akan minta kerjasama dengan mana-mana universiti tempatan ataupun swasta untuk dapatkan pengajian sama ada secara ‘online’, Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) ataupun secara terus dan sebab itu secara ‘merit’.

“Itulah ketetapan dan sekiranya yang mana tidak mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya diploma maka akan carikan tempat untuk mereka belajar dan mahu melihat pemimpin yang hadir ketika ini betul-betul berkualiti,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights