MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman menegaskan proses pengampunan diraja membabitkan Datuk Seri Najib Razak kini tidak lagi melibatkan prosedur undang-undang.
Beliau berkata, ia terserah kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong sepenuhnya, selain menegaskan dalam keadaan sekarang tidak ada sesiapa boleh memaksa agar Najib diberikan pengampunan diraja
“Saya rasa bab itu (pengampunan diraja), apa pun ia adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Sekarang ini tidak ada prosedur undang- undang, sekarang adalah (terserah) budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
“Jadi, kita tidak boleh paksa, biar Yang di-Pertuan Agong yang buat keputusan kalau mahu mengkaji. Kita (Umno) sudah tidak terlibat,” katanya.
Azalina yang juga Ketua Penerangan Umno berkata demikian sebagai mengulas pandangan peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang berpendapat Umno tidak boleh memfailkan permohonan pengampunan bagi pihak Najib.
Haniff berkata, mengikut Peraturan 113, Peraturan-Peraturan Penjara 2000, petisyen pengampunan itu hanya boleh dilakukan oleh Najib sendiri, ahli keluarga atau peguam yang dilantik oleh bekas perdana menteri itu, dan Jabatan Penjara.
Jelasnya, namun Umno boleh memfailkan surat, petisyen atau kenyataan sokongan ditandatangani ahli-ahlinya kepada Agong untuk menyokong permohonan Najib.
Terdahulu Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu menerima memorandum daripada 191 bahagian untuk memohon kepemimpinan tertinggi membela bekas Presiden Umno yang disifatkan banyak berjasa kepada rakyat dan negara.
MKT Umno juga sebulat suara bersetuju memohon menghadap bagi mempersembahkan warkah rayuan kepada Agong berserta memorandum ditandatangani oleh seluruh kepemimpinan Umno dari 191 bahagian.
Terdahulu, Azalina melancarkan laman sesawang Malaysia-Sulu Case yang mengandungi maklumat berkaitan sejarah serta perkembangan semasa mengenai tuntutan kumpulan Sulu ke atas wilayah negara ini.
Azalina berkata, usaha tersebut dijalankan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Kementerian Luar Negara, dan Kementerian Komunikasi dan Digital bagi memberikan fakta yang sahih, sekali gus menangkis tohmahan pihak yang membuat tuntutan berkenaan.
Beliau berkata, rakyat negara ini serta masyarakat antarabangsa boleh mengikuti perkembangan kes berkenaan secara telus dan benar. – Malaysiapost