Perhalusi dulu sebelum bentang RUU antilompat parti – Tuan Ibrahim

KETUA Pembangkang DUN Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan supaya rang undang-undang (RUU) antilompat parti tidak dibentangkan dalam keadaan tergesa-gesa.

Sebaliknya beliau yang juga ahli dewan undangan negeri (Adun) Cheka berkata, masih ada perkara perlu diperhalusi agar tidak timbul masalah di kemudian hari.

“Taklimat diberikan hari ini perlu diperhalusi satu persatu (walaupun) secara umumnya tidak ada beza dengan RUU (antilompat parti) di negeri lain.

“Cuma di Pahang kita ada Adun lantikan lima orang dan dia ada kuasa mengundi dalam dewan sebagaimana Adun yang dipilih (melalui proses pilihan raya).

“Jadi di situ kita lihat ada keperluan untuk perhalusi dalam pindaan ini,” katanya dalam sidang media bersama speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin di Kuantan, hari ini.

Terdahulu Mohd Sharkar bersama Adun kerajaan Pahang dan pembangkang hadir sesi taklimat berkaitan RUU perlembagaan (pindaan) 2022 (antilompat parti) di bandar raya itu.

Timbalan Presiden PAS itu juga memberi jaminan semua Adun pembangkang di Pahang akan menyokong RUU itu selepas ia diperhalusi.

“Akta ini adalah untuk masa depan, perkara berkaitan Adun lantikan ini kita perincikan dalam akta kita ini.

“Sebab dia ada implikasi dari segi undang-undang, contohnya katakanlah kita lantik seorang Adun lantikan daripada NGO (badan bukan kerajaan), tiba-tiba lepas dilantik dia menyertai satu parti yang NGO lantik dia (sebagai Adun lantikan) tak setuju, akta kita belum ada diterangkan hal itu, jadi kita perlu jelas perkara tersebut,” katanya lagi.

Tuan Ibrahim memaklumkan adalah lebih baik jika RUU itu dilengkapkan dan diperkemaskan terlebih dahulu sebelum dibawa ke sidang DUN.

“Bagi kami sekiranya sempat, kita akan bentang nanti, bincang dengan lebih lengkap, kalau perlukan masa kita tidak tergesa-gesa, boleh bawa dalam sidang DUN akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sharkar memberitahu draf mengenai RUU antilompat parti perlu dihantar ke pejabat speaker DUN sebelum 22 April ini.

“Sidang DUN akan diadakan pada 8 Mei, jadi kalau nak bentang, draf RUU itu perlu dihantar ke pejabat saya 14 hari sebelum sidang bermula,” katanya.

Setakat ini hanya tujuh negeri membentangkan RUU itu di peringkat sidang DUN masing-masing dan diluluskan.

Pulau Pinang adalah negeri paling awal memperkenalkan RUU itu dan diluluskan sidang DUN negeri berkenaan pada Nov 2012.

Negeri lain yang turut meluluskan pindaan bagi mengekang tindakan mana-mana ADUN melompat parti ialah Sarawak, Perak, Kedah, Selangor, Perlis dan Kelantan.

Kerajaan Terengganu pada Nov tahun lalu pula memaklumkan tidak ada keperluan untuk RUU itu diperkenalkan di negeri terbabit kerana hanya ada wakil rakyat PAS dan UMNO sahaja di negeri itu.

Di peringkat persekutuan RUU antilompat parti diluluskan Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022 sebelum dibentangkan dan diluluskan di Dewan Negara pada 9 Ogos 2022. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights