MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan terdapat surat daripada Kementerian Kewangan yang dihantar ke pejabat Sultan Kedah berhubung cubaan untuk menyingkirkan beliau dalam Majlis Kewangan Negara.
Muhammad Sanusi berkata, perkara itu bukan cerita yang direka dan ia dibuktikan dengan kehadiran surat berkenaan, namun beliau tidak berhasrat untuk mendedahkan surat berkenaan buat masa ini.
“Apa yang mereka buat saya tahu, semuanya sampai ke pengetahuan saya. Mereka hantar surat kepada pejabat Tuanku Sultan Kedah untuk melobi supaya menukar ahli Majlis Kewangan Negara. Saya tahu sebab surat itu memang ada,” katanya.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi mendakwa terdapat usaha terancang untuk menyingkirnya dalam Majlis Kewangan Negara, dengan menamakan Setiausaha Kerajaan Kedah (SUK), Datuk Norizan Khazali sebagai pengganti.
Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan menetapkan Majlis Kewangan Negara perlu diketuai Perdana Menteri atau mana-mana menteri dilantik, manakala setiap negeri diwakili individu yang diperkenan Sultan atau Yang di-Pertua Negeri.
Malahm Muhammad Sanusi menegaskan gerakan terbabit benar-benar berlaku dan ia bukan lakonan seperti didakwa beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH). – Malaysiapost