Tiada bonus Aidilfitri buat penjawat awam di Sarawak

Tiada bonus Aidilfitri buat penjawat awam di Sarawak

KERAJAAN Sarawak memutuskan tidak memberi bonus kepada penjawat awam negeri itu Aidilfitri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pemberian bonus pada Aidilfitri sahaja seakan-akan tidak adil kepada perayaan lain seperti Hari Gawai dan Tahun Baharu Cina di negeri itu

“Saya rasa kita banyak perayaan dan kita sambut Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Gawai dan saya rasa kita mesti adil kepada semua perayaan.

“Sebab itu Kerajaan Sarawak memutuskan tidak memberi bonus pada waktu perayaan, jadi pandai-pandailah kita berbelanja,” katanya.

Abang Johari berkata, namun Kerajaan Sarawak merancang memberi bonus pada hujung tahun kerana ia boleh digunakan untuk persekolahan anak-anak.

Beliau berkata, perbelanjaan untuk persekolahan adalah lebih penting berbanding perayaan.

“Bagi sayalah, anak sekolah lebih penting daripada raya. Jadi saya lihat kalau rezeki lebih, biarlah saya beri hujung tahun dan ini adil untuk semua masyarakat dan dapat membantu ibu bapa dari segi perbelanjaan sekolah,” katanya.

Malah, Abang Johari berkata, pihaknya merancang untuk memberi bonus sekurang-kurangnya RM700 kepada penjawat awam negeri pada hujung tahun ini. – Malaysiapost

Komen