Anak bulan 1 Syawal tahun lalu memang kelihatan

PENOLONG Pengarah Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Awangku Bolkhizan Ahmad Thani menafikan dakwaan Hari Raya 2022 adalah tidak sah seperti yang kini sedang tular di media sosial.

Beliau yang juga bekas pegawai Falak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan merangkap Setiausaha Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan, menegaskan anak bulan 1 Syawal 1443H pada tahun lalu sememangnya kelihatan.

Menurutnya, penampakan anak bulan itu bukan sahaja dilihat oleh dirinya sendiri tetapi kesemua 30 orang yang hadir di stesen cerapan di Menara Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kampus Antarabangsa Labuan pada masa berkenaan.

Beliau yang mempunyai pengalaman selama 13 tahun melakukan kerja-kerja cerapan anak bulan berkata, cerapan dilakukan dengan tiga kaedah iaitu menggunakan mata kasar, dengan bantuan optik teleskop dan bantuan optik teleskop bersama bantuan kamera pengimejan.

Imej penampakan anak bulan 1 Syawal 1443H yang dirakam di stesen cerapan di Labuan

“Kamera itu digunakan sebagai bukti yang akan mengukuhkan lagi kenampakan secara mata kasar tanpa bantuan pengimejan tersebut.

“Pencerap anak bulan pula telah dilatih selama bertahun-tahun dan mempunyai pengalaman yang banyak dalam cerapan anak bulan,” katanya dalam program Tanya JAKIM yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), hari ini.

Menurutnya, pencerap anak bulan juga bukan hanya melakukan cerapan pada tiga bulan rasmi iaitu Ramadan, Syawal dan Zulhijjah, tetapi mencerap pada setiap bulan.

“Bukan setakat mencerap anak bulan, tetapi juga cerapan bulan sabit tua pada hari ke-27 atau 28 dan kemudian mencerap anak bulan baharu pada hari ke-29.

“Peralatan mencerap anak bulan juga perlu di kalibrasi dan dijajarkan dengan baik lebih awal dari tarikh cerapan,” katanya.

Menceritakan apa yang berlaku ketika cerapan anak bulan 1 Syawal pada tahun lalu, beliau yang mengetuai cerapan di stesen cerapan Labuan, berkata anak bulan itu mula kelihatan pada jam 6.38 petang.

“Pada jam 6.38 petang selepas matahari terbenam pada jam 6.28 minit petang. Anak bulan telah pun kelihatan yang mana kita tak sangkakan.

“Anak bulan mula dilihat daripada teleskop yang ada bantuan kamera pengimejan. Anak bulan itu kelihatan pada jam 6.38 petang. Kemudian anak bulan itu turut kelihatan dalam teleskop stesen pencerapan.

“Penampakan anak bulan tersebut berlarutan sehingga jam 6.42 petang iaitu selama tujuh minit anak bulan itu kelihatan,” jelasnya.

Beliau berkata, seramai 30 orang yang hadir di stesen pencerapan ketika itu menyaksikan anak bulan terbabit yang mana ada antara mereka yang baru pertama kali dapat melihat anak bulan.

“Tapi dalam situasi ketika itu, saya harus memikirkan bagaimana harus memastikan keputusan kenampakan anak bulan di Labuan itu tidak ditularkan kerana ketika itu pencerap-pencerap di Semenanjung Malaysia baru nak mencerap.

“Jadi kami lakukan ikut prosedur dengan tidak mendedahkan lebih awal kepada umum mengenai penampakan anak bulan itu.

“Kami kemudian melaporkan penampakan anak pulang itu kepada Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan Labuan yang terdiri daripada lima orang yang hadir ketika itu,” katanya.

Menurutnya, jawatankuasa itu yang yakin dengan fakta dan bukti yang disampaikan kemudian mensabitkan anak bulan telah kelihatan dan menerima penampakan anak bulan 1 Syawal 1443H serta melaporkannya kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja

“Jadi saya menafikan bahawa raya tahun 2022 tidak sah, ia memang sah dan disahkan bukan seorang tetapi seramai 30 orang yang nampak,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights