E-sukan evolusi baru untuk Malaysia – Syed Saddiq

PRESIDEN Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan agar kerajaan memajukan lagi industri e-sukan negara.

Ahli Parlimen Muar yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, bantuan dan galakan daripada kerajaan akan menjadi pemangkin kepada industri berkenaan dan meletakkan Malaysia dalam rangkaian global yang sangat maju.

Beliau berkata selain kerajaan, komuniti e-sukan negara juga perlu memainkan peranan mereka dengan bersatu agar suara mereka didengari.

“Saya mencadangkan tiga perkara untuk memupuk industri e-sukan negara iaitu kerajaan mesti memberi lebih pengiktirafan kepada e-sukan dan mendorong lebih banyak insentif.

“Keperluan untuk menjadi suara yang kuat dan bersatu daripada komuniti akar umbi e-sukan.

“Sasarkan yang rendah sebagai batu loncatan untuk membina asas yang kukuh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Syed Saddiq berkata, dengan menyatukan alam maya dan nyata ia akan membawa satu evolusi baharu untuk Malaysia.

Beliau sendiri mengakui terkejut dengan perkembangan terkini dunia e-sukan negara apabila melihat suasa kafe siber kini jauh berbeza dari dulu.

“Ia akhirnya diiktiraf sebagai sukan di mana orang ramai boleh bermain permainan secara profesional dan memperoleh wang,” katanya yang berpeluang berkongsi pandangan dengan komuniti e-sukan negara dalam satu program semalam.

Menurutnya program itu dianjurkan Nas_Playground and Esports Business Network, dua rangkaian komuniti yang menempatkan pemain muda yang sangat berbakat dalam e-sukan.

“Melihat komuniti yang menunjukkan semangat yang mendalam dalam e-sukan ini, saya rasa sudah tiba masanya kita tidak lagi memandang rendah potensi industri ini.

“Ia bukan lagi tentang sekumpulan anak kecil hanya menatap monitor bermain permainan komputer, tetapi perlu dilihat sama penting seperti sukan lain macam bola sepak

“Terdapatnya pemain, penstrim, jurulatih, pemain industri penting, penaja dan banyak lagi perkara utama lain yang membentuk industri e-sukan ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights