Hentikan polemik tarikh 1 Syawal – JAKIM

KEPUTUSAN kenampakan anak bulan 1 Syawal 1443H (5 Mei 2022) adalah dibuat secara bersama oleh Mufti Wilayah Persekutuan dengan pakar falak dan Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam satu kenyataan hari ini, memaklumkan imej cerapan yang diperolehi juga dibandingkan dengan data-data hilal (anak bulan) yang disediakan sebelum keputusan menerima kenampakan tersebut dibuat.

Imej penampakan anak bulan 1 Syawal 1443H/2 Mei 2022

Menurutnya, kenampakan hilal tersebut kemudiannya dilaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia untuk diperkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka baginda Yang di-Pertuan Agong.

JAKIM menyangkal laporan sebuah akhbar hari ini yang memetik sumber mengatakan hasil cerapan 1 Syawal 1443H tidak sah dan terbatal.

“Ini kerana hasil cerapan tersebut telah mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.

“Pada petang 29 Ramadan 1443H, anak bulan telah berjaya dikesan melalui teleskop oleh salah seorang ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan Labuan dan imej yang diperolehi telah disemak oleh jawatankuasa berkenaan,” katanya.

Menurut JAKIM, artikel berkenaan juga mendakwa laporan kenampakan hilal Syawal 1443H tidak direkodkan dalam laman sesawang Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.

“Kenyataan tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan kerana semakan JAKIM mendapati rekod tersebut boleh diakses di pautan https://www.majlisraja-raja.gov.my/ms/cerapan-anak-bulan.

“Sehubungan itu, kenyataan bahawa pengisytiharan kenampakan hilal Syawal 1443H/ 2 Mei 2022 di Labuan terbatal adalah amat tidak tepat dan sangat mengelirukan,” katanya.

JAKIM menyarankan agar semua pihak berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau sebarang kandungan berkaitan isu penetapan tarikh 1 Syawal supaya tidak berlakunya kegusaran dan polemik yang boleh menjurus kepada ketidaktenteraman awam.

“Masyarakat juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan berautoriti sebelum mengeluarkan sebarang komen.

“JAKIM menyeru masyarakat awam supaya menghentikan sebarang polemik dan menunggu hasil keputusan cerapan Syawal 1444H yang akan diisytiharkan pada malam 29 Ramadan 1444H/ 20 April 2023 oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights