Maritim Malaysia rampas 4.8 juta batang rokok diseludup dari Indonesia

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menumpaskan cubaan seludup sejumlah 4.8 juta batang rokok kretek pelbagai jenama di perairan muara Tanjung Gabang, Selangor sempena Op Khas Pagar kelmarin.

Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia selaku pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, risikan dan bantuan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) mendapati sebuah bot pancung dengan enam enjin 200 kuasa kuda bergerak dalam keadaan mencurigakan di laluan Traffic Separation Scheme (TSS) ke Tanjung Gabang pada jam 10.20 malam.

“Menyedari kehadiran aset Maritim Malaysia, suspek dilapor memecut laju untuk meloloskan diri dan dikejar selama hampir 30 minit sehingga bot pancung berkenaan memasuki kawasan paya bakau.

“Setelah menghampiri bot berkenaan pada kedudukan 0.05 batu nautika barat laut muara Tanjung Gabang, pihak Maritim Malaysia mendapati tekong dan awak-awak telah meninggalkan bot dan melarikan diri.

“Pemeriksaan ke atas bot pancung tanpa nombor pendaftaran itu membawa kepada penemuan rokok kretek pelbagai jenama,” katanya dalam sidang media di Pejabat Maritim Negeri Sembilan dan Melaka hari ini.

Saiful Lizan memaklumkan nilai keseluruhan rampasan rokok kretek termasuk bot pancung dan enam enjin 200 kuasa kuda itu berjumlah RM3.53 juta.

“Kesemua rokok kretek disyaki diseludup dari Indonesia untuk dijual secara haram dalam negara ini dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu menyeludup masuk rokok melalui jalan yang tidak diwartakan / Duti Eksais (Cukai),” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights