Pengasas Country Heights Holdings Bhd nafi muflis

PENGASAS Country Heights Holdings Bhd (CHHB) Tan Sri Lee Kim Yew mendakwa beliau menjadi sasaran seorang bekas perunding syarikatnya di Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan undang-undang kebankrapan untuk mengisytiharkan dirinya sebagai muflis.

Beliau menegaskan tidak pernah mengisytiharkan dirinya sebagai muflis atau memfailkan tindakan itu serta kedudukannya sebagai seorang usahawan di negara ini masih kukuh dan mampu membayar hutang.

Kim Yew mendakwa, seorang peguam Patrick Healy yang juga rakyat AS dan pernah bertugas dengan syarikat miliknya di AS yang dikenali sebagai Club Excellence Inc, menjadi punca beliau disaman RM3 juta dan diisytiharkan muflis.

Beliau mendakwa Healy meminta bayaran dalam bentuk yuran perunding berjumlah AS dolar $570,000

Menurutnya, selepas menutup syarikat tersebut kerana tidak lagi berminat menjalankan perniagaan di AS, Healy telah bertindak membawa perkara itu ke pihak Mahkamah Timbang Tara AS tanpa kehadirannya.

“Saya tidak hadir di mahkamah AS berikutan faktor jarak jauh serta Covid-19 dan mahkamah menjatuhkan hukuman yang berpihak kepada Healy.

“Healy membawa penghakiman itu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam yang mana beliau mendapat Perintah Adjudikasi (AO) dan Perintah Penerimaan (RO) terhadap Lee pada 26 Januari,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Beliau berkata. susulan itu pihaknya merujuk kepada pihak Ketua Setiausaha Negara untuk membolehkan rundingan dijalankan oleh peguamnya dan Healy.

“Susulan hakikat bahawa saya menjadi sasaran serangan di media sosial, saya bertindak menulis kepada Ketua Setiausaha Negara untuk membolehkan peguam kedua-dua belah pihak berunding bagi mengetepikan perintah mahkamah tersebut.

“Sekiranya gagal, saya akan memfailkan pernyataan keadaan saya kepada Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi (MDI) dengan memberi deposit tunai RM3 juta untuk langkah seterusnya ke atas Healy,” katanya.

Sementara itu, CHHB menerusi kenyataan kepada pemegang sahamnya hari ini, memberi jaminan bahawa “insiden peribadi” salah seorang pemegang sahamnya tidak akan menjejaskan prestasi kewangan mahu pun operasi syarikat.

Pengarah Urusannya Datuk Mircle Yap, menegaskan bahawa insiden berkenaan adalah perkara peribadi dan tidak akan menjejaskan operasi CHHB.

“Kami mempunyai pasukan pengurusan cekap dan struktur tadbir urus korporat yang kukuh bagi memastikan operasi perniagaan terus berjalan tanpa gangguan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights