PELAWAT dan penyampai radio, Shuib Sepahtu mengakui bakal mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Watie Hanifiah pada Jun depan.
Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Muhamad, 38, memaklumkan persiapan perkahwinan bersama wanita kelahiran Perak itu telah berjalan sebanyak 30 peratus.
“Persiapan dari segi dewan sudah dilakukan. Saya akan menjalankan majlis pernikahan dan persandingan. Tetapi, dari segi busana belum lagi.
“Saya tak mahu majlis pernikahan terlalu meriah, tak mahu juga terlalu kecil-kecilan kerana memikirkan ahli keluarga.
“Ini perkahwinan pertama Watie, jadi sudah tentu keluarga mahu majlis meriah meraikan kami.
“Saya harap dapat buat majlis sederhana dan bermakna, jadi semua akan gembira,” katanya memetik laporan BH Online.
Shuib yang juga penyampai radio Suria FM berkata, bakal isterinya gembira, namun pada masa sama tidak menafikan cabarannya.
“Anak-anak selesa dengan Watie. Alhamdulillah, keluarga pun selesa. Saya rasa itu salah satu anugerah.
“Mungkin sebelum ini ada isu yang tak beberapa sedap dengar. Tetapi sekarang apabila Allah memudahkan proses itu, mungkin benda ini sangat baik. Saya harap ia akan berjalan dengan cukup baik.
“Saya pula sudah tentu berdebar, tetapi bila saya tengok anak-anak, saya rasa perlukan seseorang untuk ada bersama saya,” katanya.
Shuib juga akui dengan Watie di sisi, dia mampu mempunyai sistem sokongan yang baik, namun arwah isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin tetap tiada galang ganti. – Malaysiapost