Sivakumar sahkan pegawainya ditahan SPRM

MENTERI Sumber Manusia V Sivakumar mengesahkan mengenai penahanan seorang pegawai daripada pejabatnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan sev=barang komen lanjut berhubung kes itu kerana ia masih dalam siasatan pihak berkuasa.

“Saya maklum berkenaan penahanan pegawai daripada pejabat saya. Memandangkan perkara ini masih dalam siasatan pihak SPRM, saya tidak dapat memberikan sebarang komen berhubung perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk laporan media mengenai penahanan seorang pegawai kanannya dalam serbuan di Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya pagi tadi.

Penahanan dan serbuan itu juga disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.

Pegawai berkenaan dipercayai menubuhkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing untuk mendapatkan kelulusan kementerian berkenaan walaupun terdapat konflik kepentingan.

Sementara itu, Sivakumar menegaskan pihaknya dan kementerian akan memberi kerjasama penuh kepada agensi siasatan sekiranya diperlukan.

“Justeru itu, saya berharap pihak media tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi yang boleh menjejaskan mana-mana pihak sehingga agensi siasatan yang berkenaan selesai,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights