Yang pasti bukan saya calon MB Kedah – Mahfuz

DATUK Mahfuz Omar menafikan spekulasi beliau akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti selain termasuk dalam senarai nama calon bakal Menteri Besar Kedah. 

Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah itu berkata, calon Menteri Besar akan dilantik dalam kalangan parti gabungan kerajaan perpaduan sekiranya mereka menang dalam PRN nanti.

Tegasnya, apa yang pasti beliau tidak tersenarai dalam calon bakal Menteri Besar Kedah itu. 

“(Menteri Besar) Itu kita belum tentu, yang pasti bukan saya, itu kena sebut tu, orang duk viralkan saya nak jadi Menteri Besar lah.

“Yang pasti kita akan ada calon Menteri Besar, kita tidak sebutlah poster boy, yang pasti ada calon MB dan yang pasti bukan saya, calon itu adalah dari parti gabungan perpaduan negeri Kedah,” katanya dipetik Harapan Daily, hari ini.

Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, rundingan pembahagian 36 kerusi PRN di kalangan parti-parti komponen Kerajaan Perpaduan di Kedah akan dilakukan mulai minggu ini.

Jelasnya, perundingan agihan kerusi tersebut bakal dilaksanakan dalam beberapa siri perjumpaan antara pimpinan parti gabungan kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun Mahfuz menjelaskan, setakat ini sudah dipersetujui semua kerusi yang dimenangi oleh PH pada pilihan raya umum lalu kekal ditandingi parti itu manakala BN kekal di kerusi mereka.

“Mana yang dah menang itu kita tidak akan ganggu… mana kerusi PAS menang pula kita akan bincang,” katanya.

Mahfuz berharap agihan kerusi tersebut dapat ditentukan menjelang Konvensyen Perpaduan Negeri Kedah yang akan dianjurkan pada 20 Mei depan.

Beliau berkata, konvensyen tersebut dijangka dirasmikan pemimpin tertinggi parti di peringkat nasional dan ia melibatkan seluruh pemimpin parti kerajaan perpaduan negeri.

Menurutnya, konvensyen tersebut akan menumpukan fokus kepada persediaan menghadapi PRN selain menguatkan hubungan parti-parti gabungan dan mengukuhkan kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Mahfuz berkata, selepas penubuhan Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah beberapa hari lalu, PH dan BN akan menyusun beberapa program merapatkan hubungan antara mereka termasuk program meja bulat yang bakal diadakan pada 17 April ini. 

“Sidang meja bulat ini bersifat suai kenal pemimpin di peringkat Parlimen, ada 15 meja untuk 15 Parlimen di Kedah, setiap meja ada lima wakil parti masing-masing daripada Amanah, PKR, DAP dan Umno/BN.

“Ada meja bulat mereka duduk buat ice breaking, nak mencairkan apa yang beku begitu lama antara satu sama lain dan kemudian berbuka puasa bersama,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights