Anwar nafi tak tumpu agenda tangani kos sara hidup

DATUK Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan beliau tidak memberi sepenuh tumpuan kepada agenda menangani kos sara hidup.

Perdana Menteri yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) di Pejabat Perdana Menteri semalam, menyifatkan ia dakwaan liar semata-mata.

“Saya dibantu kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui beberapa jawatankuasa lain.

“Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan, NACCOL yang dipengerusikan Ahmad Zahid (Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Wilayah dan Desa) bersidang sebanyak dua kali.

“Selepas ini beliau akan mempergiat usaha pemantauan dan pelaksanaan dasar dan strategi Kerajaan Malaysia Madani dengan mengadakan mesyuarat setiap bulan,” katanya.

Mengulas lanjut Anwar berkata, lebih wajar pihak yang membuat tuduhan itu bersama-sama kerajaan mengembleng usaha dalam membantu rakyat serta mengurangkan berpolemik.

“Kos sara hidup agenda nasional dan menuntut pendekatan seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Anwar menyifatkan Inisiatif Rahmah dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semakin membuahkan hasil apabila konsep itu semakin meluas dari semasa ke semasa.

Setakat ini katanya, 71,400 Bakul Rahmah diedar kepada kelompok miskin tegar dengan penglibatan dan kerjasama daripada 10 penyumbang utama.

“Selain itu, inisiatif Jualan Rahmah kini membabitkan 16 pasar raya besar dan rangkaiannya yang meliputi 118 kawasan Parlimen dengan 8,223 lokasi, 12,000 unit penyimpanan stok jualan sehingga 31 Disember depan.

“Bagi Menu Rahmah, 1,706 premis makan dan restoran mengambil bahagian dan berkenaan Bazar Ramadan Rahmah itu meliputi 41 lokasi dengan membabitkan seramai 913 peniaga,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights