BEKAS kapten Kelantan, Badhri Radzi bukan sahaja terkejut malah terharu apabila menerima mesej peribadi (DM) di laman sosial miliknya daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Berkongsi mengenainya di Facebook, Badhri yang dikenali dengan panggilan Piya berkata, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan mahu mencubu menu ‘Mukbang’ resipi ibunya.
Bekas pemain kebangsaan itu turut berkongsi tangkap layar perbualannya dengan TMJ di media sosial.
Berdasarkan tangkap layar itu, TMJ terlebih dahulu DM Piya sambil menunjukkan baginda menikmati makanan dalam talam, seperti dinikmati Piya yang dikongsinya di Facebook beberapa hari lalu.
“Salam Piya. Saya tengok awak makan sedap saya pun nak tiru. Selamat berpuasa,” tulis TMJ.
Piya kemudian menjawab bahawa menu Mukbang yang dinikmatinya adalah resipi dari air tangan ibunya.
TMJ yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) membalas: “Insya-Allah suatu hari nanti saya dapat rasa resipi Mukbang Mak Piya. Selamat berpuasa dan semoga Allah berkati awak sekeluarga.”
Susulan itu Piya berjanji akan menghantar sos Mukbang ibunya secara pos untuk dicuba oleh TMJ.
Piya turut mengucapkan terima kasih kepada TMJ atas kesudian untuk mencuba menu Mukbang ibunya.
“Junjung kasih Tuanku. Terima kasih banyak-banyak nak trt Mukbang Mek Piya,” tulis pemain yang menjulang Piala Malaysia dua kali ketika era kegemilangan Kelantan suatu masa dulu itu. – Malaysiapost