Beri ruang menteri bentang pindaan Auku – Syed Saddiq

PRESIDEN Muda, Syed Saddiq Abdul Rahman meminta semua pihak memberi ruang kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin membentangkan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) terlebih dahulu.

Ahli Parlimen Muar itu yakin Mohamed Khaled mendengar aspirasi dan kehendak mahasiswa yang mahu perubahan terhadap Auku.

“Datuk Seri Khaled adalah bekas bos saya… saya pernah bertugas sebagai pegawai penyelidik beliau, bila saya lantang dia tak buang saya, dia bagi saya peluang.

“Bagi peluang menteri untuk bentang dan bincang (pindaan Auku), pasti akan dapat perhatian hangat,” katanya dalam program sesi diskusi santai Auku: Apakah Pengakhirannya? di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) malam tadi.

Sesi itu turut disertai ahli panel iaitu Exco Pemuda PAS, Nazrul Nazir dan aktivis politik,Farhan Khairuddin.

Pada 6 April lalu, Mohamed Khaled memaklumkan Rang Undang-Undang (RUU) berhubung cadangan pindaan Seksyen 15 dan 16 di bawah Auku 1971 yang akan memberi kebebasan kepada mahasiswa dalam beberapa perkara termasuk aktiviti berpersatuan, dijangka dibentang di Parlimen tahun ini.

Sementara itu, Nazrul pula berpandangan Auku memerlukan kepada pindaan bukannya pemansuhan iaitu Seksyen 8.

“Pagar-pagar telah dibuka tapi pintu tak dibuka, gerakan mahasiswa perlu pandai cari jalan untuk kita tengok perubahan perlu digerakan oleh mahasiswa.

“Bila kita nampak apa yang perlu dipinda, baru kita cadang kepada kerajaan,” katanya.

Farhan pula berkata kesediaan mahasiswa adalah perkara utama sebelum membicarakan soal pemansuhan Auku.

“Auku bukan isu baru, pindaan pada 2012 juga adalah gerakan daripada UKM

“Kertas pindaan sudah ada, cuma macam kita kata tadi, apakah kita sudah bersedia,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights