‘Innovathon’ pemangkin budaya inovasi masyarakat Malaysia – Rafizi

PENYEDIAAN ekosistem untuk merancakkan ekonomi digital dan teknologi adalah salah satu tumpuan Kementerian Ekonomi untuk menstrukturkan semula ekonomi negara.

Menterinya Rafizi Ramli, berkata antara langkah penting ke arah itu ialah mewujudkan bakat-bakat digital dan teknologi yang boleh dibimbing menjadi usahawan dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, keperluan meningkatkan bakat digital dan teknologi itu adalah prasyarat untuk menjayakan ekosistem ekonomi digital yang dipacu kerajaan dan swasta.

“Saya yakin dengan bertambahnya bakat-bakat digital dan teknologi secara mendadak, apabila dipadankan dengan insentif dan bimbingan kerajaan dan swasta yang ada, perkembangan ekonomi digital dan teknologi negara akan lebih pesat.

“Usaha ini bermula dengan mengarus perdanakan inovasi dalam masyarakat. Kami berhasrat untuk memecahkan pengadang minda dalam masyarakat bahawa inovasi hanya terpakai dalam bidang-bidang tertentu yang rumit dan saintifik, atau hanya orang yang berkelayakan tinggi sahaja yang berpeluang terlibat dalam inovasi.

“Negara yang berjaya membina ekonomi digital dan tech yang pesat adalah negara yang masyarakatnya mengangkat penambahbaikan berterusan dalam segenap aspek kehidupan sebagai inovasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru itu, beliau berkata bagi memupuk dan mengarus perdanakan budaya inovasi, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan ‘Innovathon’.

Menurutnya, program realiti TV itu akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menjana dan mengembangkan idea inovatif yang boleh dikomersialkan sebagai produk digital dan teknologi melalui format ‘hackathon’.

“Mulai Mei 2023, Innovathon akan membuka proses saringan idea kepada seluruh rakyat Malaysia. Peserta yang berminat boleh menyediakan video ringkas yang menghuraikan idea inovasi mereka dan pelan komersial yang ringkas untuk dihantar secara atas talian.

“Program realiti TV Innovathon pula dijangka akan mula bersiaran dalam bulan Jun 2023 selama sepuluh minggu,” katanya.

Rafizi berkata, video-video yang diterima akan dinilai dan idea terpilih kemudiannya akan dijemput ke sesi uji bakat fizikal di hadapan panel hakim di enam lokasi di seluruh Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Sarawak dan Sabah.

Menurutnya, peserta di peringkat itu akan menerima bimbingan daripada mentor berpengalaman dalam bidang perniagaan, produk, dan teknologi, untuk menyediakan peserta untuk membentangkan idea mereka kepada pengguna berpotensi dan bakal pelabur.

“Kementerian Ekonomi dan MOSTI akan menguruskan supaya pimpinan-pimpinan dari sektor awam dan swasta negara untuk menjadi panel hakim semasa sesi uji bakat fizikal di enam lokasi seluruh negara.

“Peserta yang mempunyai idea yang terbaik akan mara ke pentas akhir dan berpeluang memenangi modal awal dan sokongan secara langsung untuk membantu mengkomersialkan idea mereka ke pasaran.

Beliau berkata, pemenang-pemenang di peringkat akhir akan diberikan modal untuk memulakan syarikat pemula mereka dengan bimbingan agensi kerajaan dan pelabur strategik swasta.

“Sejumlah RM1 juta diperuntukkan bagi tujuan modal asas dan modal awal kepada pemenang-pemenang.

“Program Innovathon akan disiarkan di seluruh negara dengan kerjasama Aatro, dan memaparkan proses pembangunan produk digital di sebalik tabir dari peringkat percambahan idea ke penghasilan prototaip sehinggalah ke proses awal komersial,” katanya.

Rafizi berkata, penyertaan dibuka kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang atau had umur.

“Kami berharap usaha melalui Innovathon ini akan membina keyakinan lebih ramai bakat dalam masyarakat untuk membina kerjaya dan inovasi dalam bidang ekonomi digital,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights