JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menyantuni golongan gelandangan melalui Program Edaran Pek Makanan Santuni Gelandangan di Pusat Pembelajaran Dalam Komuniti (PPK) Chow Kit, hari ini.
Program anjuran Jawi Food Bank (JFB) itu adalah suatu inisiatif, komitmen dan kesungguhan agensi-agensi Islam seperti Jawi untuk mempamerkan syiar keprihatinan agama Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut hadir menyampaikan sumbangan bakul makanan berkenaan kepada 40 keluarga yang berada di bawah pemantauan PPK.

“Jika sebelum ini, untuk program Iftar Rahmah Ramadan di Wilayah Persekutuan, kita memperuntukkan sebanyak RM4 juta untuk diagihkan makanan berbuka puasa percuma kepada golongan asnaf dan golongan B40 sepanjang bulan Ramadan ini.
“Ia berpusat di 70 buah Masjid dan Surau terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Manakala program Edaran Pek Makanan Santuni Gelandangan sepanjang Ramadan tahun ini, Jawi telah memperuntukkan sebanyak RM 129,600 untuk diagihkan di pusat komuniti ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Hadir sama dalam program itu, Pengarah Jawi Datuk Mohd Ajib Ismail dan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Ismadi Sakirin. – Malaysiapost