KABINET masih belum membincangkan isu pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi dan Digital itu berkata beliau juga tidak mempunyai maklumat lanjut mengenainya dan tidak boleh mengulas isu tersebut.
“Saya juga tidak menerima apa-apa maklumat bila tarikh Lembaga Pengampunan akan bersidang.
“Selagi tiada maklumat berhubung perkara itu, saya tidak boleh ulas. Perkara yang dibincangkan ataupun tidak dibincangkan dalam Kabinet juga berstatus rahsia.
“Jadi saya tak boleh komen ataupun nafikan. Setakat ini belum dimaklumkan apa-apa mengenai tarikh itu,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Beliau ditemui media selepas menyampaikan sumbangan Program Tanggungjawab Sosial (CSR) Kasih HAWANA (Hari Wartawan Nasional) 2023 di Taman Setia 2, Balakong hari ini.
Pada majlis itu, Fahmi menyampaikan sumbangan kepada bekas kakitangan Utusan Malaysia, Muhammad Basir Abu Bakar, yang mengalami masalah jantung. – Malaysiapost