Kes penyeludupan dadah ke Australia mengaibkan negara – Anwar

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kes penyeludupan dadah ke Australia melalui Pelabuhan Klang yang didedahkan baru-baru ini, adalah sesuatu yang mengaibkan negara.

Tegasnya, susulan itu beliau telah mengarahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan laporan lengkap mengenai kes berkenaan dalam tempoh dua minggu.

Menurutnya, kejadian itu menunjukkan wujudnya kelemahan dalam sistem kerajaan yang sepatutnya mampu mengesan kegiatan berkenaan.

“Saya baca baru-baru ini tentang bagaimana penyeludupan besar dadah ke Australia yang mengaibkan kalau dibuktikan sah penyeludupan besar-besaran itu dari Pelabuhan Klang. Soalnya bagaimana boleh dalam sistem yang canggih sekarang boleh bolos begitu besar jumlah penyeludupan dadah dari Pelabuhan Klang.

“Saya dah minta pihak Kastam yang bertanggungjawab memberi laporan penuh tentang punca apa yang berlaku. Bagaimana sudah 12 atau 16 kali hal sedemikian berlaku sehingga ditangkap di Australia dan itu menunjukkan kelemahan kita yang mesti diatasi.

“Saya minta polis juga bersama dalam siasatan ini dan memberikan laporan penuh dan lengkap dalam tempoh dua minggu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani, di Sekolah Latihan Asas Kepolisan (SLAK), Sungai Petani, Kedah, hari ini yang turut disiarkan secara langsung di Facebook PDRM.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Anwar berkata, kejadian berkenaan bukanlah soal kecil yang membabitkan nilai dadah berjumlah ratusan jutaan ringgit, tetapi ia menunjukkan kelemahan dalam sistem negara.

“Dalam keadaan kita bicara soal tata kelola, pengurusan kerajaan yang baik, menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa..hal-hal ini masih berlaku.

“Oleh demikian kita tidak harus tolak ansur dan kita harus ambil tindakan lebih keras terhadap penjenayah-penjenayah ini,” tegasnya.

Media sebelum ini, melaporkan pihak berkuasa Australia merampas 336 kilogram (kg) heroin dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane, pada 13 Mac lalu.

Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam kenyataan minggu lalu, berkata, Pasukan Sempadan Australia (ABF) berjaya mengesan dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen, yang masing-masing seberat 500 kg. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights