PROJEK rintis melanjutkan waktu operasi klinik kesihatan (KK) bagi mengurangkan kesesakan pesakit Jabatan Kecemasan hospital kerajaan yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini menunjukkan keberkesanannya.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, berkata projek rintis yang dilaksanakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Klinik Kesihatan Bandar Botanik (KKBB), Klang itu mencatatkan penurunan sebanyak 54 peratus kedatangan pesakit.
Beliau berkata, projek itu membolehkan KK terbabit memanjangkan waktu operasi hingga 9.30 malam dengan menerima dan merawat pesakit kategori zon hijau (bukan kecemasan) dari Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR.
Inisiatif menangani kesesakan dan tempoh menunggu lama di Jabatan Kecemasan HTAR dilaksana KKM selepas mendapat persetujuan Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) yang diketuai Ketua Setiausaha Negara.
“Trend penurunan ini berlaku lebih ketara pada Sabtu dan Ahad dan selari dengan peningkatan kedatangan pesakit ke KKBB selepas intervensi lanjutan tempoh operasi ini dilaksanakan bermula 25 Mac lalu.
“KKM memutuskan untuk memperluas skop projek rintis intervensi pemanjangan tempoh operasi ke klinik kesihatan yang lain.
“Lima klinik kesihatan telah dipilih untuk tujuan itu yang membabitkan daerah Gombak, Hulu Langat, Ipoh, Johor Bahru dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, selain lanjutan waktu operasi di klinik kesihatan, tujuh lagi tindakan penyelesaian jangka pendek dan jangka sederhana bagi mengurangkan kesesakan pesakit di hospital kerajaan sedang dilaksanakan.
“Antaranya adalah pelaksanaan rintis Skim Perubatan MADANI, semakan semula akta, pekeliling dan garis panduan berkaitan.
“Pelaksanaan pengurusan LEAN, perluasan perkhidmatan penjagaan kesihatan virtual, dan strategi komunikasi melalui behavioral insight sedang berjalan dengan kerjasama kementerian dan agensi berkenaan.
“KKM amat menggalakkan pesakit yang tidak mengalami sakit kritikal untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan. Pendekatan ini dapat membantu doktor dan anggota kesihatan dalam memberikan rawatan segera kepada pesakit kritikal di Jabatan Kecemasan hospital kerajaan,” katanya. – Malaysiapost