SEORANG pemimpin Umno Johor mendakwa Khairy Jamaluddin berterusan menyerlahkan rasa benci dan marah kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Datuk Seri Najib Razak dan Umno sendiri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata ia berdasarkan rakaman podcast ‘Keluar Sekejap’ oleh Khairy bersama bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan.
Menurut Mohd Puad, kedua-dua bekas pemimpin Umno yang dipecat itu membangkitkan soalan provokatif yang mereka sendiri jawab dalam podcast tersebut.
“Soalan provokatif itu sebenarnya diyakini suara hati nurani mereka berdua yang mahu perkara itu berlaku. Mereka macam suka jika Anwar (Ibrahim) tendang BN keluar dari kerajaan perpaduan.
“Ikut KJ, tanpa BN, Anwar masih PMX kerana sokongan GPS dan GRS. Anwar masih ada 118 kerusi majoriti mudah. KJ umpama menasihati Anwar, tidak apa jadi PM kerajaan majoriti lemah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Mohd Puad seterusnya mempersoalkan adakah Khairy tidak mahu melihat sebuah kerajaan yang stabil atau suka jika kerajaan bertukar sekali lagi sekali gus mencari jalan pintas untuk politiknya.
“Tetapi apa yang mahu dihairankan dengan KJ. Dia bercakap soal “kos politik”. Apakah kos kerajaan majoriti lemah lebih baik? Apakah kerajaan majoriti lemah tidak terdedah dengan ugutan?
“Dia menganggap Anwar jadi tebusan Zahid. Dia mengandaikan Anwar berkata ‘enough is enough, tidak mahu jadi tebusan Wak Zahid. Cukup tanpa Umno. Segalanya terpaksa dihalalkan’.
“Apa yang dihalalkan? Apakah pengampunan diraja haram? Apakah lantikan politik GLC pun haram? Umno tidak buat perjanjian bertulis isu pengampunan untuk tubuh kerajaan,” soal Mohd Puad.
Beliau seterusnya mempersoalkan Khairy yang didakwa bersekongkol dengan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ‘menghalakan penggantungan Parlimen dan darurat ketika pandemik Covid-19.
“KJ dakwa soalannya, soalan budak nakal. Dia bukan nakal. Dendamnya belum habis. Dia gagal kalahkan Zahid. Dia gagal jadi Presiden. Dia terlepas peluang jadi PM umur 40 tahun.
“Kini naratif KJ ialah asalkan bukan Umno,” katanya lagi. – Malaysiapost