MUDA memohon perintah daripada Mahkamah Tinggi untuk mengisytiharkan bahawa penemuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.
Melalui saman pemula yang difailkan parti itu pada 12 April, ia turut memohon perisytiharan bahawa agensi siasatan tersebut tiada bidang kuasa untuk menyiasat dan membuat penemuan bahawa hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan melanggar Kod Etika Hakim 2009 dan mereka mempunyai konflik kepentingan ketika mengendalikan sesuatu kes mahkamah.
Mohd Nazlan ialah hakim yang mendengar dan mensabitkan serta menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas mendapati Datuk Seri Najib Razak bersalah bagi tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana SRC International Sdn Bhd.
Dalam tindakan undang undang tersebut, MUDA memohon mahkamah untuk mengisytiharkan penemuan SPRM bahawa Mohd Nazlan yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, melanggar Kod Etika Hakim 2009 dan mempunyai konflik kepentingan ketika mendengar SRC International adalah tidak sah dan tidak berperlembagaaan.
Setiausaha Agung MUDA, Amir Hariri Abd Hadi, dalam afidavit sokongan menyatakan bahawa pendedahan surat SPRM dan surat daripada Menteri Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said bertarikh 20 Mac lepas telah mendedahkan pelanggaran serius oleh SPRM.
Menurut afidavit sokongan itu, kuasa SPRM untuk menyiasat hanya terhad kepada kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan ia tiada bidang kuasa dan kepakaran untuk menyiasat dan membuat dapatan berhubung sebarang pelanggaran Kod Etika Hakim 2009 atau konflik kepentingan oleh hakim.
Parti itu turut mempersoalkan tindakan Azalina menjawab dan mengesahkan pertanyaan peguam bela Najib berhubung siasatan SPRM, sedangkan ia sepatutnya ditujukan dan dijawab oleh SPRM. – Malaysiapost